Penjara usang bakal diganti baharu
TELOK MAS 5 Oktober – Beberapa penjara lama di negara ini yang dibina seawal era 1800-an bakal dirobohkan dan diganti dengan binaan baharu.
Pengarah Pengurusan Banduan Jabatan Penjara Malaysia Komisioner Penjara Ajidin Salleh berkata, cadangan itu akan diusulkan berikutan terdapat keperluan memandangkan struktur penjara-penjara lama itu sudah tidak lagi kukuh, selain ada yang tidak lagi relevan dengan keadaan semasa.
Menurutnya, antara penjara yang dicadang untuk diganti baharu ialah seperti di Alor Setar, Pulau Pinang, Taiping, Batu Gajah dan Seremban.
“Penjara-penjara ini ialah bangunan yang dibina sejak tahun 1800 lagi. Jadi, kita melihat adanya keperluan dari sudut kemanusiaan kerana penjara-penjara ini ada yang masih menggunakan ‘Bucket System’ iaitu bilik tahanan yang tidak mempunyai tandas.
“Kalau dalam dunia moden, ini sudah lagi tiada. Jadi, perancangan kita untuk menggantikan penjara-penjara ini dengan membina struktur baharu sama ada di tapak baharu atau sedia ada.
“Jadi, inilah perancangan kita untuk dimasukkan dalam Rancangan Malaysia supaya ia dapat direalisasikan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Integriti dan Sekolah Henry Gurney 2021 di Dewan Parameswara Sekolah Henry Gurney Telok Mas, hari ini.
Hadir sama, Pengarah Penjara Negeri Melaka Timbalan Komisioner Penjara Roslan Mohamed.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.