PENJANA: Inisiatif awal pacu ekonomi negara
KUALA LUMPUR 26 Jun – Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) adalah inisiatif kerajaan yang tepat pada masanya bagi memulihkan ekonomi negara, sekali gus membantu rakyat menangani krisis ekonomi semasa pandemik COVID-19.
Pensyarah Pusat Pengajian Siswazah Univeriti Tun Abdul Razak, Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai berkata secara keseluruhannya, PENJANA yang dilancarkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 5 Jun lepas menumpukan kepada inisiatif awal yang bertujuan memacu ekonomi masa depan negara.
Mengambil contoh program e-PENJANA di bawah teras teras ketiga PENJANA iaitu ‘Merangsang Ekonomi’, beliau berkata inisiatif itu adalah galakan untuk masyarakat berpindah daripada penggunaan wang tunai kepada e-dompet yang kini menjadi trend kehidupan normal baharu.
“Konsep e-dompet perlu terus dipromosikan kerana ada sesetengah masyarakat seperti peniaga mikro masih lagi menunggu dan berharap untuk kembali ke normal lama…kita tidak akan balik ke normal lama kerana perdagangan elektronik dalam talian adalah satu-satunya trend kini,” katanya kepada Bernama.
Menerusi program e-PENJANA yang bernilai RM750 juta, kerajaan akan mengkreditkan RM50 ke dalam akaun e-dompet pengguna dan memanfaatkan 15 juta rakyat Malaysia.
Dalam pada itu, Barjoyai berkata PENJANA adalah inisiatif permulaan kerajaan namun kebanyakan usaha perlu dilakukan oleh peniaga sendiri termasuk kesanggupan untuk menerima perubahan dan teknologi baharu.
“Ia adalah proses yang berperingkat dan peniaga perlu bersikap terbuka untuk mengguna pakai kaedah digital seperti menerima tempahan dalam talian dan membuat penghantaran pesanan melalui ekonomi gig,” katanya.
PENJANA yang mempunyai tiga teras utama iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi merangkumi 40 inisiatif bernilai RM35 bilion.
Sementara itu, penganalisis eknomi, Prof Madya Dr Madeline Berma, berkata PENJANA adalah pelan pemulihan semula ekonomi yang bersifat khusus dan tertumpu kepada pembukaan ekonomi secara berperingkat melibatkan sektor-sektor tertentu.
“PENJANA mampu meringankan beban rakyat, memulihkan perusahaan kecil dan sederhana dan menyediakan landasan untuk meningkatkan daya tahan ekonomi negara dalam jangka masa sederhana dan panjang,” katanya.
Selain itu, peruntukan sebanyak RM25 juta kepada Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bagi program Global Online Workforce (GLOW) yang bertujuan membimbing rakyat sebagai pekerja digital bertaraf global bagi menjana pendapatan dalam talian.
– BERNAMA