Penjaga dibenar teman pesakit di wad mulai 1 Mei – KKM
KKM dalam satu kenyataan memaklumkan pelaksanaan polisi penjaga dan pelawat di hospital KKM semasa fasa peralihan ke endemik itu, bagaimanapun adalah berdasarkan kriteria-kriteria tertentu tertakluk kepada kapasiti dan kemampuan hospital dan wad masing-masing.
Menurut kementerian itu, kriteria umum bagi pelawat dan penjaga mestilah berusia 12 tahun ke atas, telah lengkap vaksinasi COVID-19 dan tidak tergolong dalam kumpulan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19.
“Bagi penjaga kepada kategori pesakit tertentu yang perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri, ujian perlu dijalankan dalam tempoh 24 jam sebelum ketibaan ke hospital, tarikh dan masa ujian dijalankan perlu dinyatakan berserta gambar sebagai bukti,” menurut KKM.
Menjelas lanjut KKM memaklumkan individu yang mahu menjaga dan melawat juga mesti dari kalangan yang tidak disyaki menghidapi COVID-19 atau individu dalam pemantauan (PUS) serta tidak mempunyai gejala COVID-19.
Mereka juga perlu mengisi borang deklarasi COVID-19 serta mematuhi standard operasi prosedur (SOP) dan memakai alat pelindung diri (PPE) seperti yang ditetapkan.
Jelas KKM lagi, bagi kriteria khusus untuk lawatan dan jagaan pesakit bukan COVID-19 termasuk menemani ibu bersalin, individu itu perlu menjalani ujian saringan COVID-19 iaitu RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif.
“Lawatan daripada kalangan ahli keluarga kepada pesakit bukan COVID-19 yang berada sama ada di wad, Unit Rawatan Rapi (ICU) atau sedang tenat (end of life) adalah dibenarkan namun adalah terhad kepada dua orang pelawat pada satu-satu masa. Pelawat juga digalakkan untuk menjalani ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri sebelum melawat;
“Hanya seorang penjaga sahaja dibenarkan bagi pesakit bukan COVID-19 yang menerima rawatan pesakit luar atau jabatan kecemasan,” menurut KKM lagi.
Bagi lawatan dan jagaan bagi pesakit COVID-19 kehadiran penjaga hanya dibenarkan bagi pesakit yang memerlukan penjagaan khusus dan pesakit kanak-kanak sahaja.
Bagi tujuan tersebut, penjaga perlu menjalani ujian RTK-Ag kendiri dan disahkan negatif dan ujian perlu diulang sekiranya penjaga bergejala dan sebelum pulang ke rumah.
“Tiada pelawat dibenarkan bagi pesakit COVID-19, kecuali bagi pesakit yang sedang tenat sama ada di wad atau di ICU. Hanya dua pelawat dibenarkan pada satu-satu masa dan ujian COVID-19 menggunakan RTK-Ag kendiri adalah digalakkan sebelum lawatan,” menurut kenyataan itu.
KKM turut memaklumkan dalam keadaan tertentu apabila risiko penularan COVID-19 adalah tinggi seperti berlakunya wabak COVID-19 di hospital, pihak hospital boleh melakukan beberapa pengubahsuaian kepada polisi sedia ada bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pihak. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.