Sorting by

×

Penipuan jual beli dalam talian semakin membimbangkan

Masa Membaca:1 Minit, 21 Saat

AYER KEROH 2 April – Penipuan transaksi dalam talian menjadi aduan paling kerap diterima Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) daripada pengguna di seluruh negara sejak akhir-akhir ini.

Timbalan Menterinya Datuk Rosol Wahid berkata, tahun lalu sahaja 33.2 peratus atau 11,510 aduan berkaitan transaksi secara dalam talian diterima, mengatasi aduan harga barangan, 27.6 peratus (9,589 aduan).

Katanya, dari Januari hingga Mac tahun ini pula aduan berkaitan adalah 38.8 peratus daripada keseluruhan 6,466 aduan.

“Antara faktor yang menyumbang peningkatan aduan kes transaksi dalam talian mungkin disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikenakan tahun lalu dan awal tahun ini yang mana orang ramai lebih selesa membeli secara dalam talian.

“Kebiasaannya aduan yang kita terima adalah membabitkan barangan yang tidak sama seperti yang ditunjuk dalam gambar serta barangan yang dibeli tidak sampai kepada pengguna.

“Justeru, kita menasihatkan pengguna agar lebih berhati-hati membabitkan apa jua pembelian secara dalam talian untuk mengelakkan menjadi mangsa penipuan,” katanya ketika ditemui dalam lawatan ke kilang pembuatan makanan industri kecil dan sederhana (IKS) di sini, hari ini.

Rosol berkata, sesiapa sahaja yang berdepan masalah sedemikian boleh melaporkan kepada KPDNHEP dengan menyertakan bukti atau transaksi pembelian untuk pihaknya mengambil tindakan berdasarkan undang-undang yang termaktub.

Namun, beliau mengakui berdepan cabaran untuk mengambil tindakan sekiranya platform perniagaan itu berada di luar negara.

“Kalau di luar negara memang sukar, tetapi kalau ia di dalam negeri, insya-Allah tiada masalah untuk kita mengambil tindakan.

“Apapun, kepada setiap peniaga dalam talian saya menyeru agar tidak mengambil kesempatan dan bertanggungjawab terhadap setiap hasil jualan mereka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

543
Kongsi :
Previous post From East to West: The flow of Taste and Spices to Europe and the World
Next post JDT calar rekod bersih MUFC
Ubah saiz-+=