Peningkatan kos haji disebabkan beberapa faktor – Zulkifli
SEREMBAN, 21 Jan — Aspek pertukaran mata wang, kesan daripada pandemik COVID-19 dan cukai nilai tambah (VAT) adalah antara faktor peningkatan kos haji tahun ini, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Hasan.
Beliau berkata bagaimanapun, kenaikan kos haji kali ini adalah wajar dan masih berpatutan berikutan kos ditanggung oleh Lembaga Tabung Haji (TH) semakin bertambah ketika ini.
“Jika melihat pada perkembangan ekonomi dunia, kita terpaksa meningkatkan kos itu, namun TH dan kerajaan cuba memastikan kos ditanggung para jemaah tidak membebankan selain turut memberikan bantuan kewangan sangat besar kepada para jemaah tahun ini.
“Dalam kalangan B40, Tabung Haji memberi peruntukan lebih 63 peratus dibantu lagi dengan RM1,000, manakala M40 (42 peratus), ini menunjukkan bagaimana kerajaan dan Tabung Haji telah berusaha bantu meringankan beban jemaah tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Kursus Asas Haji dan Kenduri Masjid 2024 di Masjid Qaryah Paroi Jaya di sini hari ini.
Pada Jumaat lepas, TH mengumumkan kos haji bagi seorang bakal haji Muassasah untuk menunaikan ibadat itu tahun ini ditetapkan RM33,300 berbanding RM30,850 tahun lepas.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH Syed Hamadah Syed Othman berkata kadar bayaran bagi bakal haji kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu tahun ini ditetapkan pada RM12,356, M40 (RM19,152), manakala bagi kumpulan T20, mereka akan dikenakan bayaran penuh kos iaitu RM33,300 seorang.
Sementara itu, Hamidah Payun, 61, yang bakal menunaikan haji tahun ini berkata kenaikan kos pada tahun ini adalah satu keputusan yang wajar dilakukan oleh Tabung Haji dan kerajaan memandangkan pelbagai kos perbelanjaan semakin meningkat setiap tahun.
“Pada saya, kenaikan kos itu tidak menjadi masalah dan masih berpatutan, kalau kita lihat sekarang semua kos meningkat, jadi wajarlah ada peningkatan,” katanya yang menabung di TH sejak 2008 hasil duit pemberian suami setiap bulan.
Bagi pesara swasta, Zulkifli Dahlan, 60, dia telah menjangkakan kenaikan kos haji kerana kos untuk menunaikan ibadah umrah juga meningkat sejak beberapa tahun ini.
“Dulu, saya pergi umrah pada 2019, kos berjumlah RM6,000 kemudian saya pergi lagi pada tahun lepas telah naik RM8,500 … jadi ia bukan satu isu, peningkatan kos itu memang akan berlaku, saya rasa negara lain kos mereka lagi tinggi berbanding negara kita,” katanya.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.