
PENIAGA RUGI LEBIH RM26,000 DITIPU URUSAN TEMPAHAN HAMPER TIDAK WUJUD
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Azli Mohd Noor berkata pada 7 April, mangsa seorang wanita berusia 46 tahun telah menerima pesanan WhatsApp daripada suspek, yang menyamar sebagai kakitangan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun.
Beliau berkata suspek yang memperkenalkan diri sebagai Dahlia telah membuat tempahan 135 unit hamper kurma dan coklat, kononnya untuk majlis hari raya universiti pada 10 April.
“Pada 9 April, suspek telah membuat pesanan tambahan sebanyak 145 unit hamper untuk majlis tersebut.
“Suspek juga telah memberikan nombor telefon seorang pembekal kurma dan coklat kepada mangsa kononnya untuk memudahkan urusan jual beli, kerana masa yang agak singkat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Azli berkata mangsa yang terdesak untuk mendapatkan bekalan kurma dan coklat telah menghubungi pembekal berkenaan dan membuat tiga kali bayaran berjumlah RM26,100 menggunakan wang simpanan dan pinjaman daripada rakan.
Bagaimanapun, pada 10 April walaupun mangsa telah menerima barangan tersebut, namun suspek tidak mengambil barangan yang ditempah. Suspek juga tidak menjawab panggilan telefon menyebabkan mangsa berasa ditipu.
“Mangsa telah menghubungi pihak UiTM Dungun untuk mendapatkan pengesahan tetapi kecewa apabila diberitahu tiada tempahan dibuat oleh pihak universiti.
“Mangsa telah membuat laporan pada 12.36 tengah hari semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.