Peniaga roti canai derita kanser prostat meninggal dunia
AYER LIMAU 18 April. – Peniaga roti canai Mohd Tahir Abdul Karim, 57, yang kisahnya menderita penyakit kanser prostat disiarkan Melaka Hari Ini (MHI) sebelum ini dilaporkan meninggal dunia di Hospital Alor Gajah jam 10 pagi tadi.
Arwah dimasukkan ke hospital berkenaan sejak petang Selasa lalu apabila mengadu sesak nafas kepada isteri, Noorhayati Mat Jusoh, 52.
Menantu arwah, Arshad Nordin, 25, berkata keluarganya menerima panggilan daripada pihak hospital pada jam 9.30 pagi yang memaklumkan arwah sedang nazak.
“Ibu mentua, isteri saya dan beberapa saudara mara bergegas ke hospital tetapi dalam perjalanan mereka menerima panggilan yang memaklumkan arwah ayah sudah tiada.
“Jenazah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Pinang, di sini petang ini,” katanya ketika ditemui di kediaman arwah di kampung itu hari ini.
Rabu lalu, MHI melaporkan arwah hanya mampu terlantar di atas katil akibat menderita barah prostat, sekali gus menyebabkan Noorhayati dan empat anak kehilangan tempat bergantung hidup.
Sebelum ini arwah dan isteri berniaga roti canai di Medan Selera Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Bukit Beringin, di sini.
Arwah menghidap penyakit berkenaan setahun lalu dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) beberapa bulan lalu.
Kesihatannya bertambah buruk sejak Januari lalu hingga tidak dapat berjalan, apatah lagi mencari rezeki menebar roti canai, menyebabkan
keluarganya terpaksa bergantung kepada bantuan ihsan saudara, jiran dan rakan.
BERITA BERKAITAN:Â Suami derita prostat, keluarga hilang tempat bergantung
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.