Sorting by

×

PENIAGA PUKUL LELAKI DENGAN HELMET DITAHAN, PERSELISIHAN FAHAM ATAS JALAN JADI PUNCA

Masa Membaca:1 Minit, 7 Saat

PAYA RUMPUT 29 Mac – Perselisihan faham di atas jalan raya dipercayai menjadi punca seorang lelaki dipukul dengan topi keledar sehingga rebah di persimpangan masuk Taman Cheng Utama di sini.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, berdasarkan siasatan awal, kejadian itu berlaku pada 27 Mac (Khamis) dan video insiden itu berdurasi 17 saat telah tular di media sosial sejak semalam.

Katanya, mangsa berusia 52 tahun telah hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk berjumpa pegawai penyiasat bagi memberikan keterangan lanjut dan telah diberikan borang POL 59 untuk mendapatkan rawatan di Hospital Melaka.

Menurutnya, suspek merupakan seorang peniaga berusia 27 tahun telah ditahan pada jam 12.30 tengah hari tadi di Balai Polis Batang 3 dan kini pihak polis sedang dalam proses merampas sebuah motosikal, helmet serta pakaian yang dipakai suspek semasa kejadian bagi tujuan siasatan.

“Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kes berkenaan diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi IPD Melaka Tengah atau balai polis berdekatan.

Beliau turut menasihati masyarakat agar bersabar dan mengawal perasaan, selain mengelak daripada melakukan perkara yang menjerumus kepada perbuatan jenayah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1774
Kongsi :
Previous post ALOR GAJAH BERSERI, LAMPU RAYA SAMBUT KEPULANGAN PERANTAU
Next post MANTAI AIDILFITRI DUYONG MERIAH, PELBAGAI BARANGAN DIJUAL MURAH