Sorting by

×

Peniaga, penganjur bazar rugi RM1.3 juta

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

BANDA HILIR 2 Julai – Lebih 100 peniaga kraftangan dan makanan tradisional di kawasan pelancongan Bazar Ole-Ole Melaka, di sini mendakwa kerugian hampir setengah juta ringgit selain penganjur turut rugi RM800,000 sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal Januari lalu.

Peniaga, Siti Nor Zalina Zulkifli, 32, berkata, dia terpaksa menanggung kerugian hampir RM50,000 apabila semua barangan makanan tradisional yang baharu dibeli sebelum PKP 2.0 terpaksa dibuang.

“Kebetulan, saya baharu ‘restok’ barang jualan beberapa hari sebelum kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP 2.0 mengakibatkan saya terpaksa buang baki makanan yang tidak tahan lama dan sudah rosak.

“Keseluruhan kerugian sejak PKP 2 sampai sekarang ini adalah hampir RM50,000 termasuk duit sewa kedai, itupun nasib baik penganjur memberi diskaun sewa kedai,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini di Bazar Ole-ole di sini hari ini.

Terdahulu, dia menerima lawatan daripada Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Penternakan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Norhizam Hassan Baktee dan penganjur bazar berkenaan, Khairul Anuar Mohd Noor, 35.

KHAIRUL Anuar termenung memikirkan nasibnya dan lebih 100 peniaga bazar kerugian RM1.3 juta sejak Januari lalu apabila sektor pelancongan negeri tidak dapat beroperasi ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di Bazar Ole-ole Melaka, Banda Hilir. Foto: MR. Azli

Sementara itu Khairul Anuar berkata, terdapat lebih 100 peniaga di bazar berkenaan yang keseluruhannnya kerugian hampir RM500,000 sejak sempadan negeri ditutup sekaligus menyekat pelancong ke negeri ini.

“Sebagai penganjur, saya sendiri hilang pendapatan lebih RM800,000 merangkumi penangguhan sewa kedai sepanjang tahun ini, diskaun sewaan kedai, kos sewaan tanah dan gaji pekerja.

“Saya amat simpati dengan nasib peniaga dan akan menyiapkan kertas kerja untuk diserahkan kepada Datuk Norhizam yang berjanji untuk segera membantu kami keluar daripada masalah ini,” katanya.

Tambahnya, dia yang juga wakili 2,000 peniaga termasuk perniagaan ‘uptown’ di Banda Hilir berharap kerajaan memandang nasib para peniaga kecil di Melaka yang bergantung penuh pendapatan daripada sektor pelancongan negeri.

“Harapan kami adalah kerajaan dapat membenarkan perjalanan rentas negeri yang sudah lama ditunggu untuk membantu kami kembali ‘bernafas’ pada waktu yang amat sukar ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

814
Kongsi :
Previous post Sidang Parlimen diadakan secepat mungkin sebelum 1 Ogos- Takiyuddin
Next post Agong zahir penghargaan kepada kerajaan Jepun atas sumbangan 1 juta dos vaksin AstraZeneca
Ubah saiz-+=