Sorting by

×

Peniaga pau terima sumbangan kereta terpakai

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

PANTAI KUNDOR 5 Mei. – Peniaga pau dari Kampung Pantai Rombang, Tanjung Kling, dekat sini terharu menerima bantuan kereta terpakai bagi menggantikan kereta Perodua Kancil miliknya yang musnah terbakar bulan lalu.

Shahrul Nizam Md Suboh, 38, berkata, kereta Proton Iswara disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Nor Azman Hassan itu membolehkan dia dan isteri, Nursyiqah Hassan, 37, kembali berniaga untuk menyara keluarga.

“Alhamdulillah, syukur yang tidak terhingga kami ucapkan kepada Allah kerana memurahkan rezeki kami.

“Saya sekeluarga tidak menyangka akan diberikan kereta ini,” katanya yang terpaksa meminjam kereta bapa saudara Nursyiqah selepas kejadian itu.

Dia ditemui selepas menerima kereta itu daripada Nor Azman di Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (JAPERUN) Pantai Kundor, Tanjung Kling.

SHAHRUL Nizam meneliti enjin kereta Proton Iswara yang disumbangkan Nor Azman.

Nursyiqah berkata, meskipun kereta terpakai, dia dan suami terhutang budi dan berjanji menjaga kenderaan itu sebaiknya.

“Kereta itu akan kami gunakan mengangkut kuih pau, dapur kukus, meja dan pelbagai peralatan lain untuk mencari rezeki bagi membesarkan lima anak berusia enam hingga 11 tahun.

“Selepas kereta terbakar, saya asyik memikirkan bagaimana untuk mendapatkan wang membeli kereta lain kerana kami tidak boleh terus bergantung kepada kereta bapa saudara,” katanya.

Nor Azman berkata, kesukaran pasangan terbabit untuk mencari rezeki selepas kehilangan kereta amat menyentuh hatinya.

“Tuhan uji mereka dengan kereta yang hangus terbakar dan saya menghulurkan sumbangan bagi membolehkan mereka terus mencari rezeki dengan menggunakan kereta terpakai yang sudah dicat baharu, katanya.

Dalam kejadian jam 3 petang, 14 April lalu, Shahrul Nizam baru pulang daripada menghantar anak sulung ke Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Pantai Rombang dan memakir kenderaan itu hampir dengan rumah.

Tiba-tiba dia ternampak asap dari celah bonet dan cuba mencurahkan air tetapi dalam sekelip mata api marak dan memusnahkan keseluruhan kenderaan itu dalam tempoh lima minit.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

635
Kongsi :
Previous post Keenakan rendang lokan
Next post Dua kru bot warga Myanmar dikhuatiri hilang, bot dinaiki karam
Ubah saiz-+=