Sorting by

×

Peniaga pantai peranginan kembali bernafas

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

TANJUNG BIDARA 15 Dis. – Jika sebelum ini peniaga di pantai peranginan di negeri ini sesak nafas akibat kekurangan pengunjung, kini mereka sudah kembali bernafas dengan sempurna.

Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan larangan merentas negeri sebelum ini memaksa mereka menghentikan sementara perniagaan dan terpaksa melakukan kerja lain untuk menyara keluarga.

Selepas kira-kira dua bulan terpaksa menghentikan operasi berikutan PKPB dan larangan merentas negeri, kini mereka kembali ceria.

Kebenaran merentas negeri yang diberikan kerajaan membolehkan mereka kembali berniaga dan mula menikmati pulangan memuaskan berikutan peningkatan pengunjung di
pantai seperti Pengkalan Balak, Padang Kemunting dan Tanjung Bidara di daerah ini dan Pantai Puteri di Tanjung Kling.

Tinjauan di pantai Pengkalan Balak, di sini hari ini mendapati majoriti peniaga makanan dan minuman di warung atau pondok tepi jalan mengukir senyuman berikutan pertambahan pengunjung sejak kebenaran merentas negeri diberikan mulai 7 Disember lalu.

Walaupun cuti sekolah hanya akan bermula pada Isnin depan, kebanyakan ibu bapa sudah membawa anak masing-masing bercuti di pantai peranginan itu kerana anak
mereka hanya mengikuti pembelajaran secara atas talian.

JAMSARI Ahmad, 39, ceria berniaga di pantai peranginan Pengkalan Balak, selepas PKPB dan larangan merentas negeri ditamatkan.

Peniaga buah-buahan, Jamsari Ahmad, 39, berkata ketika PKPB dan larangan merentas negeri dilaksanakan sebelum ini, perniagaannya terpaksa dihentikan sementara berikutan kekurangan pengunjung dan beliau terpaksa melakukan kerja lain untuk menyara keluarga.

“Kebanyakan pengunjung datang dari Kuala Lumpur, Johor, Putrajaya, Selangor dan Negeri Sembilan dan semasa PKPB dan larangan merentas negeri dikuatkuasakan, peniagaan saya mati.

“Alhamdulillah, sekarang ia sudah hidup semula dan saya kembali melayan pelanggan seperti sebelum pandemik COVID-19 bermula pada Mac lalu,” katanya.

Peniaga di Pantai Puteri, Abdul Razak Othman, 48, berkata ayam goreng yang diusahakannya terpaksa dihentikan sementara ketika PKPB dan larangan merentas negeri sebelum ini tetapi sekarang beliau sudah menyambung semula operasi.

“Bukan semua jenis perniagaan boleh bertahan sepanjang PKPB atau larangan merentas negeri berkuat kuasa dan saya adalah antara peniaga yang bergantung sepenuhnya kepada pengunjung atau pelancong di pantai ini.

“Alhamdulillah, Allah memurahkan rezeki saya dan peniaga lain apabila kerajaan menamatkan larangan merentas negeri yang membolehkan orang ramai dari negeri lain mengunjungi pantai ini,” katanya.

Pengunjung, Kamariah Mohd Ali, 33, berkata beliau dan anggota keluarganya dari Putrajaya meluangkan waktu mengunjungi Pantai Puteri bagi melepaskan ketegangan
ketika menghadapi PKPB sebelum ini.

“Dengan menyaksikan laut terbentang luas dan pemandangan indah di pantai ini, fikiran kami kembali lapang dan tenang dan alhamdulillah doa kami supaya PKPB ditamatkan, dimakbulkan Tuhan,” katanya.

Sehubungan itu beliau berdoa agar Allah menamatkan pandemik COVID-19 dan mengizinkan kehidupan normal untuk rakyat negara ini.

Views:

666
Kongsi :
Previous post Had operasi premis perniagaan dibenarkan sehingga dua pagi
Next post COVID-19: Jumlah penumpang penerbangan berkurangan kepada 26.6 juta tahun ini
Ubah saiz-+=