Peniaga nyaris rentung dalam kebakaran kedai makan
Alor Gajah: Seorang peniaga makanan berhampiran Taman Perindustrian Kelemak, di sini, nyaris rentung ketika cuba memadam kebakaran kedainya yang musnah terbakar pagi tadi.
Bagaimanapun tindakan pantas pekerja kilang, Azian Mohamed Isa, 49, menyuruh bapa saudaranya yang dikenali sebagai Hashim berhenti memadam api dan segera keluar, berjaya menyelamatkan peniaga terbabit daripada rentung di dalam kedai itu.
Azian ketika dihubungi berkata, dia lalu di hadapan kedai itu sekitar jam 6.50 pagi tadi dan berapa pelik apabila ternampak cahaya merah terlalu terang di bahagian dapur kedai.
Katanya, dia yang sedang menuju ke pakir kilang berdekatan kemudiannya pergi memeriksa ke kedai makan itu.
“Saya sangka bapa saudara sedang memasak tapi sebaik menjenguk saya terkejut melihat dia bertungkus-lumus cuba memadamkan api yang merebak ke bahagian dinding dapur.
“Melihatkan api makin sukar dikawal ditambah pula angin kuat saya menyuruh dia segera keluar sebelum menelefon bomba,” katanya dihubungi Melaka Hari Ini sebentar tadi.
Menurut Azian lagi dia bimbang sesuatu lebih buruk berlaku apatah lagi terdapat tong gas di dapur kedai.
“Saya dimaklumkan dia sedang menjerang air ketika kejadian,” katanya lagi.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, Pegawai Bomba Kanan II, Zulakman Othman berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 7.09 pagi.
Katanya, Susulan itu 10 anggota bersama dua jentera dan ambulans unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikejarkan ke lokasi untuk melakukan operasi pemadaman.
“Sejurus tiba di lokasi jam 7.17 pagi didapati api sedang marak dan kebakaran membabitkan sebuah kedai separa kekal.
“Api berjaya dikawal tiga minit kemudian dan operasi tamat sepenuhnya jam 9.24 pagi. Kedai berkenaan dianggarkan berkeluasan 30×30 kaki persegi dan terbakar 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, punca kebakaran dan kerugian sedang disiasat.