Sorting by

×

Peniaga naikkan harga barang terima notis KPDNHEP

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

AYER KEROH 19 Feb. – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Melaka mengeluarkan tujuh notis kepada peniaga yang didapati menaikkan harga barang kawalan sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Tahun Baru Cina yang berakhir 16 Februari lalu.

Pengarahnya Norena Jaafar berkata, kesemua notis itu termaktub di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 yang diwujudkan bagi memastikan tidak berlaku kenaikan harga barangan keperluan yang dikawal.

“KPDNHEP Negeri Melaka melalui Seksyen Penguat kuasa menjalankan pemeriksaan setiap hari bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan ditetapkan dan bekalan makanan di pasaran sentiasa mencukupi bagi memenuhi permintaan setiap pengguna di negeri ini.

“Dan sepanjang tempoh Tahun Baharu Cina lalu, kita telah mengesan beberapa peniaga yang ingkar dengan arahan tersebut dan kita telah mengeluarkan tujuh notis,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam perkembangan lain, Norena memaklumkan pihaknya memeriksa 3,748 premis perniagaan meliputi peruncit, pemborong dan pengilang sejak 1 Januari lalu hingga semalam.

Sepanjang tempoh itu, ujarnya, 32 kes dikesan dan melibatkan nilai rampasan RM15,781.15 berkaitan semua akta yang dikuatkuasakan KPDNHEP.

“KPDNHEP Negeri Melaka menerima 85 aduan rasmi, secara amnya berkaitan perihal harga melibatkan kompaun berjumlah RM3,100 membabitkan kesalahan di bawah Akta Kawalan Harga Dan Antipencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972.

“KPDNHEP mengingatkan kepada semua para peniaga agar sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan. Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa bersedia dan melakukan pemantauan bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang berlaku,” katanya.

Beliau berkata, pengguna juga boleh menjadi mata dan telinga KPDNHEP dalam melaporkan sebarang salah laku berkaitan perdagangan dan juga isu kepenggunaan dengan menghubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDNHEP Negeri Melaka di talian 06-2345869 yang beroperasi setiap hari seawal 8 pagi hingga 6 petang.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

477
Kongsi :
Previous post e-Sports Melaka akan kembali rancak
Next post Lelaki hidap gout, buah pinggang maut akibat COVID-19
Ubah saiz-+=