Peniaga lega pelanggan dibenar makan di premis

Masa Membaca:1 Minit, 9 Saat

AYER KEROH 5 Jun – Keputusan kerajaan negeri membenarkan pelanggan makan di premis makanan bermula hari ini memberi kelegaan buat pemilik premis.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di beberapa premis makanan di negeri ini mendapati rata-rata peniaga mula menunjukkan wajah gembira dan lega dengan keputusan itu.

Seorang peniaga, Noor Asmah Mohd Said,56, berkata sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan akibat wabak Covid-19 lebih sebulan dia tidak meneruskan operasi perniagaan kedainya.

“Alhamdulillah hari ini kerajaan negeri dah benarkan pelanggan makan di kedai, bagaimanapun prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kita mesti patuhi.

“Sebelum ini pelanggan hanya bungkus dan bawa balik, sekarang ada sedikit kelonggaran boleh makan di kedai pun syukur sangat,” katanya.

Manakala, Ab Aziz Ab Salam,57, pula berkata, dia juga tidak berani meneruskan perniagaan semasa PKP dilaksanakan dan lebih selesa duduk di rumah.

“Masa PKP pertama saya tidak buka kedai, risau wabak Covid-19 ini, jadi saya pilih untuk duduk di rumah saja.

“Alhamdulilah, bila dah mula operasi kerajaan negeri pula beri pelanggan makan di premis dengan syarat patuhi SOP,” katanya.

Keputusan itu dibuat kerajaan negeri pada Mesyuarat Jawatankuasa Khas Covid-19 negeri yang dipengerusikan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Abdul Ghafar Atan.

Ia mengambil kira keadaan semasa wabak Covid-19 di Melaka ketika ini yang menunjukkan tahap semakin baik dengan jumlah kes positif hanya mencatatkan satu angka sejak beberapa minggu yang lepas.

Views:

591
Kongsi :
Previous post Tun Khalil serah tugas TYT kepada Mohd. Ali
Next post Covid-19: Wise, pragmatic measures taken to strengthen economy – Tun Mohd Ali
Ubah saiz-+=