Sorting by

×

Peniaga kopi antara peserta pertandingan memancing

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 Februari – “Kalau dapat RM30,000 hadiah utama, saya akan gunakan wang kemenangan untuk beli kenderaan lebih besar, sekali gus luaskan lagi perniagaan kecil-kecilan diusahakan sekarang.

“Selain itu dapat menceriakan isteri dan anak-anak kerana pada pertandingan tahun lalu saya sekadar menang hadiah sagu hati,” kata peserta Pertandingan Memancing dan Memasak Ikan Air Tawar sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) Muhammad Hazim Maula Idris, 31.

Bersemangat untuk menang hadiah utama Muhammad Hazim terus ke tapak pertandingan untuk membuat pendaftaran dan melakukan persiapan lain selepas selesai berniaga pada jam 6.30 pagi.

Katanya, ketika ini dia mengusahkan perniagaan minuman kopi yang dikenali sebagai ‘Kopi Bonet’ sekitar Klebang.

Muhammad Hazim berkata, permulaan baginya nampak begitu menarik apabila dalam tempoh satu jam selepas pertandingan bermula pada 8.30 pagi dia sudah berjaya mendaratkan 18 ekor ikan tilapia pelbagai saiz.

Bagi pertandingan itu Muhammad Hazim mendaftarkan dua batang joran dan menggunakan cacing sebagai umpan untuk memikat ikan air tawar di Sungai Melaka.

Terdahulu, pelancaran pertandingan disempurnakan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman.

Hadir sama, Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Negeri Melaka Sa’ari Basiron dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Khairul Nizam Ibnu Masoda.

Seramai 1,500 peserta menyertai pertandingan memasuki edisi kedua itu bagi merebut hadiah utama RM30,000.

Ia diikuti tempat kedua sebanyak RM7,000 dan Ketiga sebanyak RM3,000, tempat keempat hingga ke sepuluh bakal membawa pulang RM500.

Manakala, bagi tempat ke 11 hingga 20 sebanyak RM300 dan tempat ke 21 hingga 200 akan membawa pulang saguhati RM150.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

312
Kongsi :
Previous post RM4.7 juta lebar tiga jalan di Melaka
Next post Lorong ‘U-Turn’ Lebuh AMJ Paya Rumput ditutup sementara
Ubah saiz-+=