Peniaga khuatir penularan mudah berlaku jika ‘dine-in’

Masa Membaca:1 Minit, 40 Saat

DURIAN TUNGGAL 29 Ogos – Rata-rata pemilik kedai makan di negeri ini masih belum membenarkan pelanggan makan di kedai berikutan khuatir penularan COVID-19.

Timbalan Pengerusi Persatuan Pemilik Restoran dan Kafe Melaka (MR&CO), Shirajuddin Bolhi berkata, setakat ini kebanyakan dari 200 ahlinya mengambil keputusan untuk tidak membenarkan pelanggan makan di kedai.

Menurutnya, hanya sekitar 10 peratus peniaga yang memanfaatkan kemudahan itu selepas dibenarkan oleh kerajaan kepada pemilik dan pekerja kedai yang telah lengkap menerima vaksin.

“Sejujurnya kita tidak mahu dipersalahkan dan menjadi punca kepada kluster baharu jika tercetusnya penularan tanpa kawalan di premis terlibat.

“Kalau diikutkan hati memang nak sangat buka tapi memandangkan keadaan sekarang membimbangkan kami kena ambil langkah bijak dan tak nak bagi risiko pada orang lain.

“Kita memang mengharapkan Melaka mencapai 100 peratus kadar vaksinasi dan keutamaan ini perlu difokuskan kepada peniaga di Melaka bagi membantu kami dalam memulihkan ekonomi negara,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Ujarnya, kebanyakan peniaga tetap mengambil keputusan itu meskipun kini terpaksa menanggung kerugian sehingga 90 peratus selepas hanya bergantung kepada kaedah bungkus semata-mata.

“Ramai peniaga terkesan sehinggakan kira-kira 10 peratus dalam kalangan ahli terpaksa menutup kedai mereka ketika ini bagaimanapun ada juga yang cuba bertahan dan cari jalan lain untuk naikkan jumlah jualan setiap hari.

“Dalam keadaan ini peniaga perlu kreatif dan berusaha keras dalam mengusahakan perniagaan kerana usaha itu ada pada diri sendiri.

“Namun perkara ini juga perlu menerima sokongan dari semua pihak termasuklah pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk memudahkan perlesenan serta membantu kami dalam menjalankan perniagaan,” katanya.

Menurutnya yang juga pemilik Restoran Haiyana Kitchen, sejak larangan makan di kedai pelbagai strategi telah diambil dengan menumpukan jualan di tepi jalan dan ‘but kereta’ di beberapa lokasi.

“Kami menumpukan di sekitar Alor Gajah, Masjid Tanah, Jasin, Merlimau, Telok Mas, Tampin, Gemencheh dan Rembau dan beberapa tempat lain yang masih dalam perancangan.

“Ini bagi memastikan perniagaan ini tidak tertumpu dan memudahkan pelanggan kami mendapatkan produk kami iaitu Mee Kolok dan Laksa Sarawak,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

326
Kongsi :
Previous post Tiada pemberian vaksin secara ‘walk in’ di Stadium Hang Jebat – Exco
Next post Kelab AMR bantu abang beca
Ubah saiz-+=