Sorting by

×

Peniaga kembali bersemangat waktu operasi dilanjutkan

Masa Membaca:2 Minit, 4 Saat

DUYONG 25 Sept – Lanjutan waktu operasi bagi stesen minyak, kedai serbaneka dan kedai makan sehingga pukul 12 tengah malam bermula hari ini ternyata memberikan kelegaan kepada peniaga yang mengusahakan perniagaan tersebut.

Pengusaha kedai makan Nisma Duyong Mohd Azroy Azree, 45, berkata, dengan lanjutan waktu operasi itu, dia kini boleh mengatur waktu perniagaan seperti biasa tanpa perlu bimbang dengan operasi yang singkat.

Menurutnya, berbanding sebelum ini dia terpaksa menghadkan waktu perniagaan sehingga pukul 6 petang walaupun masih ada pelanggan membuat pesanan makanan.

“Sebelum ini kita berniaga agak tergesa-gesa sebab mengejar waktu operasi yang terhad sehingga pukul 6 petang namun saya lega kerana sekarang sudah boleh berniaga sehingga pukul 12 tengah malam.

“Ramai pelanggan yang merungut sebab saya terpaksa tutup kedai lewat petang memandangkan ada antara mereka yang baru pulang dari tempat kerja dan tidak sempat  memesan makanan,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini (MHI).

MOHD Azroy Azree

Dia yang berniaga mi kari dan laksa sejak lebih lima tahun lalu itu berharap keadaan akan kembali normal selepas ini dan golongan peniaga tidak lagi menghadapi kesukaran berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

Baru-baru ini, Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein mengumumkan lanjutan waktu operasi bagi perkhidmatan stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dari 6 pagi hingga 12 tengah malam untuk semua fasa kecuali
di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan berkuatkuasa hari ini.

Sementara itu, peniaga kedai serbaneka, Ainun Fadzilah Mohamed Saaid, 36, berkata, lanjutan waktu operasi itu memberikan waktu yang lebih lama kepada pelanggannya untuk mendapatkan barangan keperluan.

Ini kerana katanya, ada dalam kalangan pelanggan yang hanya mempunyai masa lapang pada waktu lewat petang dan malam untuk mendapatkan barang keperluan mereka di kedai.

Dia yang juga mengusahakan kedai alat tulis di Masjid Tanah berkata, lanjutan waktu operasi itu juga membolehkan peniaga mengambil pekerja yang telah diberhentikan untuk bekerja semula setelah keadaan kembali normal.

AINUN Fadzilah

Sementara itu, pengusaha stesen minyak di Alai, Mustafa Kamal berkata, lanjutan waktu operasi memang ditunggu-tunggu oleh peniaga dan berharap ianya kekal normal seperti sebelum ini.

“Buat masa ini peniaga stesen minyak masih belum dapat beroperasi mengikut waktu baharu ini kerana menunggu arahan pihak berkuasa tempatan.

“Namun saya bersyukur kerana perniagaan boleh dilanjutkan sehingga pukul 12 tengah malam kerana jika dilihat sekarang ini dengan penambahan kenderaan yang banyak selepas pukul 8 malam,,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

867
Kongsi :
Previous post Sasar 69,020 remaja sekolah di Melaka divaksin akhir Oktober
Next post Abang Beca tak sabar terima kunjungan pelancong
Ubah saiz-+=