Peniaga kedai runcit lega tiada lagi ‘rak berkunci’
BUKIT RAMBAI 8 Jun – Pengumuman Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang membenarkan semua barangan selain makanan dan barangan keperluan asas boleh dijual di kedai runcit dan kedai serbaneka, nyata melegakan golongan peniaga.
Peniaga runcit di Bukit Rambai, Nor Zalifah Idris, 37, kebenaran itu disambut baik kerana sebelum ini ramai pelanggan yang mengeluh apabila tidak dapat membeli pelbagai barangan lain seperti alat tulis.
Jelasnya, rata-rata pelanggan menyifatkan alat tulis penting terutama sepanjang tempoh sekolah ditutup apabila murid dan pelajar sekali lagi bakal melalui Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Memang baguslah bila tiada sekatan sebab selain makanan dan barangan keperluan asas, ada juga benda-benda lain yang perlu digunakan untuk tujuan kecemasan.
“Contohnya alat tulis, kertas A4, dan barangan keperluan lain seperti selipar dan lain-lain.
“Jadi bila semua sudah boleh dijual ia bukan sahaja melegakan peniaga seperti kami, bahkan pelanggan juga akan gembira,” katanya kepada Melaka Hari Ini.
Sementara itu, bagi pengurus sebuah kedai serbaneka yang hanya mahu dikenali sebagai Liza, sebelum ini semua rak membabitkan barangan bukan perlu seperti alat tulis dan rak permainan kanak-kanak dikunci.
Bagaimanapun, sejurus mendapat kebenaran MKN, rak berkenaan kini dibuka dan pelanggan boleh membelinya seperti biasa bermula hari ini.
“Sebelum ini kita sebagai premis ‘franchise’ memang perlu mematuhi arahan yang ditetapkan kerana MKN sememangnya memantau rak jualan di setiap premis bagi memastikan semua mematuhi arahan.
“Jadi, apabila mendapat kebenaran semalam, kami sudah boleh buka rak seperti biasa dan ada pelanggan biasa juga gembira kerana sudah dapat membeli barangan seperti alat tulis bermula hari ini,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Ketua Pengarah MKN Mohd Rabin Basir memberi ‘lampu hijau’ kepada peniaga kedai runcit dan kedai serbaneka menjual semua jenis barangan di kedai masing-masing dan tidak terhad kepada makanan dan keperluan asas sahaja seperti yang ditetapkan sebelum ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.