Peniaga kebab menang Y15ZR selepas beli hadiah untuk isteri
AYER KEROH 16 Jun – Berkat membeli hadiah berupa kemeja-T Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) untuk isteri, seorang peniaga kebab membawa pulang sebuah motosikal Yamaha Y15ZR.
Ia selepas nama, Edy Adnan Salimon, 40, dipilih sebagai pemenang cabutan bertuah khas yang diadakan bersempena Pameran Hang Tuah, Pameran Automotif Klasik Keluarga Diraja Johor dan Malaysia Bike Week Melaka 2024 di Dataran MCORP, hari ini.
Edy Adnan yang membuka gerai kebab di karnival Malaysia Bike Week Melaka 2024 tidak menyangka dengan hanya membeli dua helai kemeja-T TMM2024, namanya akan dipilih sebagai individu bertuah.
“Alhamdulillah, terkejut nama disebut Ketua Menteri, memang tidak jangka kerana pada mulanya saya hanya mahu membeli sehelai kemeja-T untuk isteri, tetapi saya ubaf fikiran dan beli sehelai lagi untuk diri sendiri.
“Selain dijadikan hadiah, niat saya juga sebab nak menyokong usaha Kerajaan Negeri memandangkan saya sendiri memang anak jati Melaka.
“Saya anggap ini rezeki menjelang Hari Raya Aidiladha,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Hadiah tersebut disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.
Hadir sama, Pegawai Kewangan Negeri yang menjalankan tugas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Salhah Salleh; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abd Razak Abd Rahman dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Melaka, Sa’ari Basiron.
Pada majlis tersebut, Ketua Menteri turut mengumumkan cabutan bertuah sama akan diadakan bersempena Karnival Jom Heboh pada 28 hingga 30 Jun ini, selain pada Hari Ulang Tahun Pengisytiharan Melaka sebagai Bandaraya Warisan Dunia (Julai) dan Melaka Explorace (Ogos).
Orang ramai hanya perlu membeli cenderamata TMM2024 serendah RM20 di beberapa kios yang ditempatkan di lokasi tumpuan pelancong sekitar Melaka untuk melayakkan mereka mendapatkan kupon cabutan bertuah tersebut.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.