Peniaga harap ada sinar pulihkan perniagaan
AYER KEROH 18 Feb. – Meskipun larangan rentas daerah dan negeri masih dikekalkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikuat kuasakan mulai esok, semangat peniaga sedikitpun tidak luntur untuk memulihkan perniagaan masing-masing.
Pengusaha hotel, Muhammad Akram Abdullah, 36, berkata, industri penghotelan antara sektor yang paling terkesan hingga ada beberapa rakannya yang menjalankan perniagaan sama gulung tikar akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sering berubah-ubah sejak setahun lalu.
Katanya, ramai rakannya yang tidak berani mengambil risiko mengekalkan perniagaan itu berikutan pandemik COVID-19 mengambil masa lama untuk pulih.
“Bagi saya, PKP atau PKPB pada masa sekarang ini tidak ada beza kerana masih tidak boleh merentas daerah dan negeri, namun saya bersyukur kerana banyak kelonggaran diberikan kepada peniaga.
“Bagi sektor penghotelan, saya masih mengharapkan (PKPB) ada peluang kita untuk memulihkan perniagaan yang terjejas teruk akibat pandemik itu,” katanya.
Mengulas lanjut, Muhammad Akram berkata, dia juga berharap kerajaan memandang serius untuk membantu perniagaan sektor penghotelan dari segi kewangan supaya mengelakkan sektor itu menutup operasi.
“Kita mahu kerajaan bantu bukan secara sepenuhnya, tapi menyuntik sedikit modal kewangan bagi mengekalkan industri itu menjana ekonomi,” katanya.
Bagi pengusaha kedai mencuci kereta, Ashwad Abd Rahim, 29, perintah PKPB yang diumumkan kerajaan benar-benar memberi kelegaan kepadanya untuk meneruskan kelangsungan perniagaannya yang terjejas selepas sebulan tidak dibenarkan beroperasi.
“Sebelum ini dalam tempoh PKP 2.0 lebih 70 peratus hasil perniagaan merosot kerana kami bergantung kepada sumber harian.
“Bagaimanapun, dengan pembukaan pelbagai sektor perniagaan termasuk kedai mencuci kereta, saya mengharapkan perkara ini (kebenaran operasi) adalah berpanjangan.
“Hari pertama dibenarkan beroperasi pada awal Februari lalu, pekerja saya bersemangat untuk kembali bekerja kerana selama tidak dibenarkan operasi, mereka hanya duduk di rumah,” katanya.