Peniaga gusar harga sayur terus naik

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PENGKALAN BATU 24 Nov – Kenaikan harga sayur yang dikatakan sudah berlarutan sejak dua minggu lalu nyata membimbangkan peniaga kerana jika dibiar berterusan akan menyebabkan ketidakpuasan orang ramai.

Tinjauan Melaka Hari Ini di Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) mendapati beberapa jenis sayur antaranya kacang buncis, brokoli dan sawi termasuk cili merah mengalami peningkatan harga.

Bagi peniaga sayur Kalsom Kasim, 60, berkata, kenaikan harga mula dikesan selepas berlakunya banjir di beberapa kawasan termasuk kejadian terbaru membabitkan tanah runtuh di Cameron Highland.

“Boleh katakan semua jenis sayur naik mendadak, saban hari sayur yang sampai akan naik puluhan ringgit untuk satu bakul, contohnya cili merah kini RM15 sekilogram dan kobis bunga RM13, sedangkan sebelum ini tidak cecah RM10 sekilogram.

“Harga datang sudah tinggi, kalau kami peniaga letak tinggi juga pembeli akan marah jadi sekarang tidak fikir untung. Malah disebabkan harga terlalu tinggi juga ada beberapa jenis sayur saya tidak ambil,” katanya ketika ditemui.

Kalsom yang sudah berniaga sejak 20 tahun dulu berkata, dia berharap pihak bertanggungjawab dapat menangani hal ini dengan segera kerana ia bukan hanya peniaga yang terkesan malah pembeli juga.

KALSOM Kasim

Seorang lagi peniaga A Chandran, 46, berkata, sebagai peniaga untuk dia terpaksa mengambil bekalan sayur walaupun ada harga yang terlalu tinggi ini bagi mengelakkan terputusnya bekalan.

“Mahal memang mahal tetapi terpaksa juga ambil kerana tidak mahu bekalan terputus selain permintaan daripada pelanggan juga tinggi.

“Sekarang ini walaupun dalam kuantiti yang sedikit saya ambil juga. Diharap pada Disember nanti harga akan kembali normal seperti biasa dan cuaca turut kembali pulih,” katanya.

A Chandran

Sementara itu, bagi pembeli Kamarulzaman Md Din,61, berkata, sekiranya keadaan ini terus berlarutan ia akan membebankan pembeli kerana harga sayuran yang dijual terlampau tinggi malah ada yang berlaku kenaikan sehingga 200 peratus.

“Kacang buncis misalnya naik hingga belas ringgit dan daun kunyit ada yang dijual lebih RM2 seikat, keadaan ini amat membimbangkan.

“Bagi menangani hal ini kerajaan seharusnya bertindak cepat dengan memantau paras harga dan mengambil tindakan pantas untuk memastikan rakyat tidak terbeban,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

899
Kongsi :
Previous post 12,000 graduan bakal mendapat manfaat program Mohe x Shopee : Siswa Mall
Next post Agong berangkat hadir hari kedua Mesyuarat Majlis Raja-raja ke-257
Ubah saiz-+=