Sorting by

×

Peniaga dilema, premis terlindung sebalik khemah bazar Ramadan

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

KOTA LAKSAMANA 5 April – Kedai terlindung dan tiada parkir kenderaan untuk pelanggan singgah ke premis mereka, menjadi antara permasalahan disuarakan beberapa peniaga di Jalan Hang Tuah, di sini.

Peniaga berkenaan mendakwa, deretan khemah dipasang di tapak bazar Ramadan mengganggu operasi perniagaan mereka, malah ada yang mendakwa pendapatan mula terjejas.

Dakwa mereka kedudukan khemah terlalu hampir menyebabkan kedai terlindung dan berharap tindakan segera diambil untuk membantu peniaga di kawasan itu.

AB Razak Ali, 71 meluahkan rasa kesal susulan keadaan khemah Bazar Ramadan yang mengganggu dan menghalang pemandangan premisnya di Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Pengusaha premis Abdul Razak Ali, 70, berkata, sepatutnya mereka yang terbabit dalam penganjuran perlu melihat daripada semua sudut bagi mengelakkan masalah menimpa perniaga sedia ada.

“Sebelum ini sehari boleh dapat 15 orang pelanggan, tetapi sejak khemah dipasang memang berkurang. Dulu dari jauh sudah nampak kedai tetapi kini terlindung.

“Kita tidak marah penganjur adakan bazar ini cuma pihak berwajib perlu tengok cara itu bagaimana sepatutnya susun atur khemah perlu berkonsep mesra kepada semua,” katanya.

KEADAAN khemah Bazar Ramadan yang dilaporkan mengganggu dan menghalang pemandangan premis perniagaan di Jalan Hang Tuah, Melaka. Foto Iqmal Haqim Rosman

Seorang lagi peniaga Syed Abdul Aziz, 72, berkata, jika keadaan berlarutan sudah pasti dia akan kehilangan pelanggan berikutan premis menjual kopiah, kain batik dan pelikat diusahakan terlindung sebalik khemah.

“Tahun sebelum ini pendapatan sudah terjejas akibat COVID-19 jadi harapan tahun ini dapat jualan tetapi perkara seperti ini pula berlaku.

“Ada juga pelanggan yang cakap, dia tidak dapat ke kedai saya kerana perlu parkir kereta jauh, sudah pasti ini menjejaskan operasi,” katanya.

Sementara itu, wakil penganjur Mohd Asrol Amiruddin berkata, untuk melakukan susun atur semula lokasi khemah yang sudah siap dipasang mungkin berdepan kesukaran selain mengambil masa.

“Mungkin selepas ini kita akan buat lebih baik susunannya selain kita juga akan berbincang dengan peniaga sedia ada bagi meminta pandangan. Untuk kali ini pun kita ada berjumpa dengan beberapa peniaga.

“Untuk kali ini kita hendak tukar tempat mahu pindahkan peniaga bazar mungkin mengambil masa dan akan jadi isu. Jadi kami mohon untuk satu bulan ini sahaja,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1275
Kongsi :
Previous post Peniaga pasar Ramadan terima lesen
Next post Jurukimia berputih mata, RM30, 000 lesap
Ubah saiz-+=