Sorting by

×

Peniaga didenda RM10,000 jual, miliki ‘walkie-talkie’ tidak diperakui

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

AYER KEROH 13 Jan – Seorang peniaga didenda RM10,000 di Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di atas dua pertuduhan menjual kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui, dua tahun lalu.

Hakim Nariman Badruddin menjatuhkan hukuman kepada Seng Hock Siong, 43 selaku orang kena saman (OKS) mewakili syarikat Gaya Perniagaan Elektronik Sentral selepas dia mengaku bersalah di atas dua pertuduhan terbabit.

Mengikut pertuduhan pertama, Hock Siong telah didakwa menjual dua unit ‘walkie-talkie’ jenama Baofeng yang merupakan peralatan komunikasi tidak diperakui.

Kesalahan itu dilakukan di premis perniagaannya di Melaka Sentral lebih kurang jam 1.09 petang pada 4 Julai 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa telah memiliki dengan tujuan untuk menjual tujuh unit walkie talkie jenama Baofeng pelbagai model di premis sama lebih kurang jam 1.49 petang pada 5 Mei 2021.

Bagi kedua-dua kesalahan, tertuduh didakwa di bawah Peraturan 16 (1) (b) Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang dibaca bersama Peraturan 16 (3) Peraturan-Peraturan yang sama.

Kesalahan itu boleh dihukum di bawah Peraturan 37 Peraturan-Peraturan sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nazrul Nizam Mohd Zameri memohon hukuman setimpal diberikan untuk memberi pengajaran OKS dan rakyat Malaysia.

Bagaimanapun tertuduh mengaku bersalah serta insaf dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.

Malah, dia turut mengakui terkesan akibat pandemik COVID-19 dan masih menyara lima orang anaknya.

Hakim kemudiannya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 bagi setiap pertuduhan serta mengarahkan barangan kes dilucut hak kepada kerajaan Malaysia dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dilupuskan selaras dengan Seksyen 260 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1159
Kongsi :
Previous post Kawasan ternakan babi Paya Mengkuang diwartakan – KM
Next post Op Benteng di bawah NTF tamat Jun ini – Hamzah
Ubah saiz-+=