
PENIAGA BURGER DIPENJARA TUJUH BULAN KERANA LARIKAN GADIS OKU
Mohd Sukri Md Daud, 40, dituduh melarikan Nurin Wardina Hairi, 18, dengan niat hendak mengurungnya secara sulit dan salah di sebuah taman permainan di Bukit Rambai pada 3 petang, 5 April lepas.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di bawah Seksyen 365 Kanun Keseksaan kerana melarikan orang dengan cara yang salah yang boleh dihukum penjara maksimum tujuh tahun dan denda.
Timbalan Pendakwa Raya Hanis Aliah Ahmad Kamarulnajuib memohon agar hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana melarikan seorang gadis OKU, bagaimanapun peguam Amritpal Singh memohon hukuman ringan memandangkan tertuduh mempunyai isteri dan tiga anak yang perlu dijaga.
Majistret Nur Afiqah Radhiah Zainurin kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara tujuh bulan daripada tarikh tertuduh ditangkap.
Isnin lepas Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit memaklumkan polis menahan seorang lelaki di tepi Jalan Jati, Sungai Petani, selepas disyaki melarikan gadis OKU berkenaan dan suspek mengaku membawa gadis itu untuk bersiar-siar di Seremban, Ipoh, Bukit Mertajam dan Baling. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.