Sorting by

×

Peniaga buluh lemang tambah bekalan untuk penuhi permintaan

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

KESIDANG 24 Mac – Permintaan terhadap buluh lemang yang meningkat secara mendadak Ramadan kali ini menyebabkan peniaga terpaksa menambah jumlah bekalan dengan anggarkan 50,000 hingga 60,000 batang.

Peniaga, Zulazrai Zokapaly, 36, berkata, setakat ini dia sudah menerima tempahan 37,000 batang lemang buluh dari 50 peniaga sekitar Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

Dia yang sudah lima tahun aktif dalam perniagaan itu berkata, sebatang buluh dengan panjang antara 17 hingga 18 inci dijual sekitar RM1.30 hingga RM1.50, kekal sama seperti tahun sebelum tanpa kenaikan harga.

“Bekalan buluh saya tempah daripada masyarakat Orang Asli di Raub, Pahang. Sekarang ini bangsal penyimpanan saya sudah penuh dengan buluh.

“Apabila terima bekalan lebih awal saya ada masa yang cukup untuk melakukan kerja mengasingkan buluh ikut saiz dan potong berdasarkan panjang dimahukan oleh pelanggan,” katanya ketika ditemui di Pokok Mangga.

Menurutnya, ramai menyangka senang untuk ‘membuat duit’dengan menjual buluh lemang, namun hakikatnya dia berdepan risiko kerugian akibat buluh rosak atau pecah.

“Pada kebiasaan satu lori mampu membawa 10,000 batang dan daripada jumlah itu 600 hingga 700 batang akan pecah tidak dapat digunakan. Cuaca panas juga boleh sebabkan buluh pecah, jadi setiap hari saya perlu siram stok yang ada antara lima hingga enam kali,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

243
Kongsi :
Previous post MINDEF sedia beri kerjasama kes anggota lakukan kekasaran
Next post Presiden persatuan Muay Thai didakwa ugut, cederakan kenalan
Ubah saiz-+=