Sorting by

×

PENIAGA BAZAR IKONIK BANDA HILIR UCAP TERIMA KASIH KEPADA KETUA MENTERI

Masa Membaca:1 Minit, 29 Saat

BANDA HILIR 31 Mac – Meskipun keputusan Kerajaan Negeri memindahkan tapak penganjuran Bazar Aidilfitri Jalan Hang Tuah ke Banda Hilir mendapat bantahan segelintir pihak sebelum ini, namun selepas lima minggu beroperasi ia membawa ‘senyuman’ kepada peniaga.

Malah rata-rata peniaga di bazar yang dikenali sebagai Bazar Ikonik Banda Hilir itu menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di atas inisiatif itu.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman berkata, penganjuran pertama kali bazar hasil cetusan idea Ketua Menteri itu mendapat sambutan hebat daripada pengunjung, khususnya pada hujung minggu.

Menurut beliau, berdasarkan data diterima, penganjuran bazar berkenaan dikunjungi kira-kira 70,0000 pengunjung sepanjang operasinya seminggu sebelum Ramadan dan berakhir pada malam raya.

“Malah peniaga juga gembira dengan sambutan menggalakkan daripada pengunjung dan ini membuktikan bahawa Kerajaan Negeri amat prihatin dengan nasib para peniaga.

“Di pihak MBMB juga saya amat berterima kasih kepada Kerajaan Negeri kerana mengambil langkah mesra peniaga seperti ini,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Fb img 1743359220483
SHADAN menyantuni pengunjung Bazar Ikonik Banda Hilir. Foto Shadan Othman

Shadan berkata, meskipun mengambil pendekatan mesra peniaga namun di bawah pentadbiran MBMB pihaknya menggariskan ‘3K’ yang perlu dipatuhi iaitu keselamatan, kebersihan dan kesihatan.

“Peniaga-peniaga juga perlu faham apabila Kerajaan Negeri menyatakan hasrat mesra peniaga mereka tidak boleh bersikap mengambil mudah sebaliknya pastikan patuhi tiga K yang ditetapkan ini.

“Ini bagi mengelakkan ada peniaga yang bertindak sesuka hati berniaga di lokasi berbahaya seperti tepi simpang atau di kawasan yang tidak dibenarkan.

“Justeru itu, peniaga perlu memastikan hasrat mesra peniaga yang dinyatakan Kerajaan Negeri itu dapat dicapai apabila mereka sendiri dapat memastikan kawasan tempat berniaga bersih dan selamat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

692
Kongsi :
Previous post PAKEJ GAMBAR RAYA ‘RAHMAH’ DI JAPERUN DUYONG
Next post RAMADAN, SYAWAL TERINDAH BUAT NUR HAURA JANE