Sorting by

×

Pengusaha pusat urut dikompaun RM10,000 beroperasi ketika PKP 3.0

Masa Membaca:1 Minit, 51 Saat

UJONG PASIR 4 Jun – Sebuah pusat refleksologi di Taman Melaka Raya di sini bukan sahaja dikompaun RM10,000 kerana beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 malah dikesan menggajikan pekerja asing tanpa permit.

Kesalahan itu dikesan dalam Op Pemantauan prosedur operasi standard (SOP) 3.0 yang dilakukan oleh pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada jam 3 petang semalam.

Dalam serbuan itu, polis menahan lima individu termasuk tiga wanita tukang urut berusia antara 23 hingga 53 tahun.

Ketua JSJ negeri Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, dua daripada wanita itu adalah warga Thailand dan seorang dari Laos, manakala dua lagi lelaki dipercayai pemilik dan penjaga premis berusia 48 tahun dan 53 tahun.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman

Katanya, ketika serbuan itu premis berkenaan dikesan beroperasi dengan membuka pintu belakang kepada pelanggan tetap yang membuat tempahan menerusi panggilan telefon.

“Ketika serbuan, pemilik premis berada di tingkat satu lot rumah kedai ini dan dia memberikan alasan terpaksa berbuat demikian demi kelangsungan hidup termasuk membayar sewa kedai dan sebagainya,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mohd Sukri berkata, dalam serbuan itu pihaknya merampas buku catatan rekod pekerja dan juga pasport milik ketiga-tiga wanita terbabit.

“Semakan dilakukan turut mendapati dua daripada tukang urut itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah kerana pasportnya sudah tamat tempoh,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata berikutan itu pemilik premis dikompaun RM10,000 manakala penjaga premis dikenakan kompaun RM2,000 mengikut Perkara 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

LIMA individu ditahan dalam Op Pemantauan SOP 3.0 di sebuah pusat refleksologi di Taman Melaka Raya semalam.

Katanya, semua wanita warga asing itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah dan disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana salah guna pas dan Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Pemilik premis turut disiasat mengikut Seksyen 55B Akta Imigresen kerana menggaji pekerja asing tanpa permit dan kesemua mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

728
Kongsi :
Previous post Kerajaan kaji tindakan ke atas golongan antivaksin
Next post Makmal Diagnostik COVID-19 PBM jangka terima sampel COVID-19 minggu depan
Ubah saiz-+=