Sorting by

×

Pengusaha katering lega, kenduri kahwin dibenarkan

Masa Membaca:2 Minit, 25 Saat

MALIM 17 Feb. – Pengumuman kerajaan membenarkan majlis perkahwinan di negeri-negeri yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), nyata memberi kelegaan besar kepada pengusaha katering di negeri ini.

Pemilik Bintang Katering di Pokok Mangga, di sini, Mohd Eszahar Mansor 36, berkata, pihaknya bersyukur dan lega apabila menerima banyak tempahan daripada orang ramai yang ingin mengadakan majlis perkahwinan dalam tempoh terdekat.

Bagaimanapun, pihaknya tidak terburu-buru menerima tempahan, sebaliknya menunggu pengumuman rasmi prosedur operasi standard (SOP) oleh pihak kerajaan sebelum kembali berniaga.

MOHD ESZAHAR

“Sejak semalam kita menerima lima panggilan, malah ada yang mahu mengadakan majlis dalam masa terdekat, namun sehingga kini masih belum tahu berapa ramai tetamu yang dibolehkan.

“Buat masa ini kami dalam keadaan bersedia jika kebenaran muktamad sudah diberikan kelak,” katanya.

Bercerita pengalaman ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, pemilik lima dewan perkahwinan di seluruh Melaka itu berkata, pernah suatu ketika dia hampir putus asa dan ingin menutup perniagaan disebabkan tidak dapat beroperasi sehingga tiga bulan.

Ujarnya, dengan kos bulanan mencecah lebih RM100,000 termasuk gaji 40 pekerja tetap dan sewa dewan, bukan mudah untuk dia bertahan, namun berkat sokongan keluarga dan pekerja dia berjaya bangkit terutama apabila mempelbagaikan strategi perniagaan.

“Mujurlah saya orang yang beringat bila berniaga. Saya ada menyediakan wang kecemasan dan dengan itulah saya bertahan sedikit demi sedikit dan sehingga ke hari ini alhamdulillah saya dapat mengekalkan semua pekerja tetap saya.

“Selepas itu, saya mula mengorak langkah. Semasa permulaan PKP, saya dan pekerja melaksanakan penghantaran makanan ke rumah-rumah untuk bertahan dan selepas itu saya mendapat idea untuk menjual kek memandangkan ia mendapat permintaan tinggi.

“Alhamdulillah sebanyak 2,000 biji kek kami terjual setiap hari dan dari situlah saya menampung kerugian sebelum ini dan kini dapat menambah 35 pekerja baharu untuk membantu kami,” ujarnya.

LIZA (kanan) dan pekerjanya membersihkan segala kelengkapan katering sebelum memulakan kembali perniagaan.

Nada kelegaan sama turut disuarakan seorang lagi pengusaha katering yang bertapak di Ayer Molek, Liza Berahim, 47.

Pemilik BB Berkat Enterprise yang mengusahakan perniagaan itu bersama keluarganya dan kumpulan ibu tunggal itu lega apabila Melaka dikenakan PKPB sekali gus membolehkan majlis perkahwinan diadakan dengan had kehadiran 50 peratus kapasiti tempat.

Jelasnya, sejak PKP dilaksanakan sebelum ini, ramai pekerjanya kalangan ibu tunggal hilang mata pencarian apabila perniagaan tidak dapat dijalankan.

“Ada ibu tunggal yang mengeluh tidak dapat membeli makanan untuk anak kerana sudah tiada pendapatan bulanan sepanjang PKP. Tetapi apa yang saya boleh buat ialah membantu yang mampu dan memberikan sokongan moral kepada mereka,” katanya.

Namun, pada masa sama, ibu kepada tiga anak itu berharap kerajaan dapat mempertimbangkan larangan rentas daerah ketika PKPB yang memberi kesan besar kepada pengusaha katering sepertinya.

“Logiknya, susah untuk kami menerima tempahan di daerah berbeza, begitu juga tetamu untuk menghadiri kenduri di daerah berlainan.

“Jadi, saya berharap kerajaan dapat buka mata dan fikirlah nasib kami yang turut mempunyai perut untuk diisi,” ujarnya.

Views:

1624
Kongsi :
Previous post Peniaga rugi RM5,000 ditipu dalam pembelian kereta mewah atas talian
Next post Melaka catat kes dua angka lima hari berturut-turut.
Ubah saiz-+=