Sorting by

×

Pengusaha inap desa sedia terima tempahan

Masa Membaca:2 Minit, 10 Saat

MELAKA 29 Sept. – Pengusaha inap desa di negeri ini bersedia menerima tempahan bilik daripada pengunjung sama ada dalam kalangan penduduk Melaka mahupun pelancong luar negeri ini.

Malah, ada dalam kalangan mereka menawarkan potongan harga bilik dan pakej percuma bagi menarik minat orang ramai membuat tempahan bilik di inap desa masing-masing.

Pengusaha Homestay Alai, Hishamuddin Ahmad berkata, sebahagian daripada 10 bilik inap desa kepunyaannya telah ditempah oleh penduduk dari negeri ini yang sebahagian besarnya datang dari Jasin dan Alor Gajah.

Menurutnya, kebanyakan mereka memberi sebab untuk berehat bersama keluarga sambil menikmati suasana desa sambil bersiar-siar di Banda Hilir pada cuti minggu ini.

 

HISHAMUDDIN

“Setakat ini, kita belum menerima tempahan dari pengunjung luar dari Melaka, mungkin untuk beberapa minggu lagi akan ada tempahan memandangkan ada kebenaran rentas negeri.

“Boleh dikatakan Homestay Alai mewakili 10 peratus daripada 45 peratus jumlah tempahan bilik di inap desa sedia ada pada masa ini,” katanya ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI).

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas persediaan pemilik inap desa bagi menyambut kunjungan pelancong dalam dan luar Melaka berikutan kebenaran aktiviti rentas negeri yang dijangka selewat-lewatnya pertengahan bulan depan.

Baru-baru ini Pengerusi Homestay Melaka, Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata, kira-kira 45 peratus inap desa di Melaka sudah menerima tempahan sekali gus membuktikan keterujaan orang ramai selepas Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya mengumumkan gelembung pelancongan di negeri ini.

Selain itu, menurut Hishamuddin yang juga Penolong Setiausaha Kesatuan Homestay Melaka, walaupun Homestay Alai menerima tempahan dan membenarkan kunjungan pelawat, namun pihaknya tetap mengenakan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat seperti yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Katanya, bagi menarik minat orang ramai menginap inap desa miliknya, dia menawarkan potongan harga bilik sebanyak 10 peratus kepada orang ramai yang membuat tempahan lebih sebuah bilik selain pakej percuma.

“Kita mengenakan caj bilik sekitar RM99 berbanding sebelum ini RM110 dan harga ini mungkin kekal sehingga hujung tahun ini beserta pakej persembahan dondang sayang dan hidangan masakan terkenal orang Melaka,” ujarnya.

Sementara itu, pemilik Homestay Sri Tanjung Masjid Tanah, Mohd Yusof Saleh berkata, pihaknya masih menangguh operasi pembukaan bilik memandangkan situasi pandemik masih mencatatkan bilangan kes COVID-19 yang tinggi.

“Setakat ini, 40 bilik homestay telah tersedia, namun kita hanya tawarkan kepada pelawat yang betul-betul dalam kecemasan misalnya baru-baru ini, kita hanya menerima tempahan bilik bagi petugas keselamatan dari Kuala Lumpur.

“Insya-Allah, bila suasana kembali pulih nanti dan bilangan kes COVID-19 pun menurun, mungkin kita boleh buka kembali bilik Homestay Sri Tanjung kepada pengunjung,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2293
Kongsi :
Previous post 85.1 peratus lengkap divaksin, rentas negeri semakin hampir
Next post Menara Taming Sari kembali beroperasi esok
Ubah saiz-+=