Sorting by

×

Pengusaha bas sekolah ibarat ‘tawa dalam tangisan’

Masa Membaca:1 Minit, 37 Saat

AYER KEROH 23 Feb. –  Enjin rosak sehingga terpaksa berhabis ribuan ringgit merupakan antara ‘beban’ terpaksa ditanggung segelintir kumpulan pengusaha bas sekolah di negeri ini sebelum memulakan perkhidmatan 1 Mac ini.

Menceritakan hal itu, seorang pengusaha Hairul Sham Hitam, 52,  berkata, kerosakan itu berlaku selepas kesemua van sekolah miliknya tidak bergerak dalam tempoh lebih tiga bulan.

Memburukkan lagi keadaan, perniagaan yang dijalankannya bersama isteri, Nurliana Kamarudin,38, sejak enam tahun lalu juga perlu menanggung kos lain seperti tunggakan pinjaman kredit.

“Lega itu memanglah lega bila kerajaan umumkan sekolah kembali dibuka bermula 1 Mac ini kerana majoriti pengusaha bas bergantung sepenuhnya kepada ibu bapa murid sekolah sebagai sumber pendapatan.

“Tetapi bila mengenangkan sudah lebih tiga bulan kenderaan kami tidak bergerak dan mengalami kerosakan, terpaksalah kami keluarkan modal untuk kos baik pulih yang mencecah ribuan ringgit,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Tidak cukup dengan itu, Hairul berkata, dia turut mengalami kerugian mencecah RM7,000 sebulan apabila terpaksa jual sebuah van serta menamatkan satu sewaan permit sekaligus menyebabkannya sukar untuk kembali beroperasi seperti sebelum ini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Bas Sekolah Melaka, Chan Siew Khim, 56 berkata,  kira-kira 90 peratus pengusaha bas di negeri ini menghadapi kerugian teruk sejak awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lalu.

Ujarnya, rentetan itu kebanyakan mereka juga terpaksa beralih bidang termasuk menyewakan kenderaan untuk kegunaan komersial bagi menampung kos kehidupan seharian.

“Malah tidak dinafikan ada juga antara pengusaha bas terpaksa ‘gulung tikar’ apabila menjual bas dan van sekolah yang digunakan sebelum ini ekoran tidak sanggup menanggung impak kerugian yang tinggi.

“Kalau untuk van, masih boleh sewakan kepada syarikat-syarikat penghantar, tetapi bagi yang memiliki bas mereka tiada pilihan lain selain terpaksa menyerah kalah,” katanya

Bagaimanapun, pihaknya menghargai inisiatif kerajaan menyediakan bantuan sara hidup secara ‘one-off’ seperti Bantuan Prihatin Rakyat dan Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bagi mengurangkan bebanan golongan terjejas sepertinya.

 

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2097
Kongsi :
Previous post Malaysia terima 182,520 dos tambahan vaksin COVID-19 Pfizer-Biontech esok
Next post 55,539 guru dipertimbang dalam fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
Ubah saiz-+=