Pengurus syarikat agensi pelancongan didakwa cuba bunuh isteri, sebabkan kecederaan pengawal peribadi
Hafizul Hawari, 38, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Dr Azrol Abdullah.
“Faham (pertuduhan) tidak mengaku bersalah,” katanya.
Hafizul didakwa cuba membunuh isterinya Farah Md Isa, 38, di Balai Ketibaan Antarabangsa Aras 3, Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini pada pukul 1.09 pagi, 14 April lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun serta denda, dan jika menyebabkan kecederaan hendaklah dipenjara hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Dia juga didakwa dengan sengaja menyebabkan cedera parah ke atas pengawal peribadi isterinya itu, Mohd Nur Hadith Zaini, 38, dengan menggunakan pistol yang boleh menyebabkan kematian pada lokasi, tarikh dan masa yang sama.
Bagi pertuduhan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Hafizul yang memakai t-shirt berwarna hitam dan dikawal ketat oleh pasukan polis tiba di Kompleks Mahkamah Sepang pada kira-kira pukul 8.15 pagi.
Pengarah Pendakwaan Selangor Ku Hayati Ku Haron berkata pihaknya tidak menawarkan jaminan memandangkan Hafizul dituduh di Mahkamah Sesyen Kota Bharu di bawah Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan jaminan ditolak oleh mahkamah itu.
“Dia ditangkap di Kota Bharu dan siasatan polis mendapati tertuduh ingin keluar dari Malaysia melalui sempadan tidak sah di negeri itu. Kami percaya dia ada risiko melarikan diri, oleh itu kami memohon jaminan tidak ditawarkan,” katanya.
Sementara itu peguam Muhammad Naim Mahmud yang mewakili Hafizul memohon anak guamnya diikat jamin atas alasan jaminan bukan berbentuk hukuman dan ia adalah ikatan supaya tertuduh boleh hadir pada prosiding di mahkamah.
“Kes ini mendapat liputan media, jadi dia mempunyai hak untuk diikat jamin… mahkamah ada kuasa dan budi bicara untuk memberi jaminan ke atas mana-mana tertuduh, “ katanya.
Beliau berkata Hafizul mempunyai tujuh anak termasuk yang bongsu berusia tiga tahun dan semasa prosiding di Mahkamah Kota Bharu, anak guamnya ada menyebut masih sayangkan isterinya.
“Kami mohon mahkamah mempertimbangkan supaya jaminan diberikan dan kami bersedia dengan syarat jaminan lain yang ketat,” katanya.
Azrol kemudian tidak membenarkan jaminan kerana dua kesalahan itu serius.
“Mahkamah mendapati tiada alasan kukuh untuk memberikan jaminan. Oleh itu permohonan jaminan ditolak,” kata hakim itu, yang kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 11 Jun.
Semalam Hafizul mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu atas tujuh pertuduhan termasuk memiliki senjata api pada 15 April lepas.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.