Pengunjung teruja dengan pakej Melaka Bila Larut Malam

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

BANDA HILIR 4 Ogos – Sambutan Melaka Bila Larut Malam Edisi Ogos 2024 di Menara Taming Sari semalam, sekali lagi mendapat sambutan menggalakkan dari pengunjung dari dalam serta luar Melaka.

Hasil tinjauan Melaka Hari Ini (MHI), kaunter Menara Taming Sari mula diserbu seawal jam 10.30 malam yang menyaksikan para pengunjung mula beratur bagi membeli tiket dengan harga tawaran istimewa RM10 seorang, selain percuma satu bagi pembelian empat tiket.

Bagi salah seorang pengunjung Siti Nurshahidah Ali, 32, berkata dia bersama dua ahli keluarganya telah tiba seawal petang di sekitar Banda Hilir dan kesemua mereka amat teruja menikmati pemandangan sekitar Menara Taming Sari pada waktu malam, lebih-lebih lagi penawaran harga tiket istimewa sempena Melaka Bila Larut Malam.

“Saya bersama ahli keluarga mengambil peluang memeriahkan program ‘Melaka Bila Larut Malam’, mana tidaknya, kami begitu teruja mendengar program ini tawar harga tiket yang sangat berpatutan di beberapa kawasan pelancongan Melaka, dan yang paling menarik perhatian kami ialah Menara Taming Sari.

“Terima kasih buat Kerajaan Negeri Melaka, dan sudah tentu buat Ketua Menteri Melaka (Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh) kerana mencetuskan idea ini yang bagi saya amat membantu rakyat nikmati kawasan pelancongan di Melaka dengan harga tiket yang sangat berpatutan”, katanya kepada MHI, semalam.

Burhanudin Ali, 26, pula menyifatkan tawaran program anjuran Kerajaan Negeri Melaka ini sebagai amat ditunggu-tunggu olehnya dan berharap ianya akan berterusan pada tahun mendatang

“Sejujurnya, saya mengikuti program ini sejak edisi pertama Melaka Bila Larut Malam pada 1 Jun lepas, dan saya ambil peluang mengunjungi beberapa kawasan yang ditawarkan.

“Harapan saya ialah agar Kerajaan Negeri Melaka dapat kekalkan tawaran ini pada tahun hadapan atau tawarkan lebih banyak pakej dalam merancakkan sektor pelancongan Melaka amnya,” katanya.

Program Melaka Bila Larut Malam merupakan anjuran Kerajaan Melaka sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dan edisi pertama diadakan pada 1 Jun 2024.

Sebelum ini, Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh menjelaskan, sudah sampai masanya keunikan sektor pelancongan Melaka ‘dipecahkan’ menerusi penganjuran program seperti Melaka Bila Larut Malam yang sekali gus mampu menepati sasaran kedatangan 18.7 juta pelancong ke negeri ini menjelang akhir tahun ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2008
Kongsi :
Previous post Melaka River Cruise pilihan ramai
Next post Muzium Perzim tarik perhatian pelancong domestik dan luar negara
Ubah saiz-+=