Pengunjung Jelajah AKM Melaka berpeluang dapatkan bantuan, geran kerajaan
Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (SEPADU) Jabatan Perdana Menteri Wan Azilawati Wan Mahmood berkata YKM menawarkan bantuan kepada anak yatim atau yatim piatu yang kehilangan bapa atau ibu atau kedua-duanya akibat COVID-19, kemalangan atau bencana.
“Kita akan bagi bantuan sejak lahir hingga berusia 18 tahun secara bulanan dan bagi mereka yang menuntut di pusat pengajian tinggi sehingga ijazah pertama, layak mendapat bantuan secara sekali beri. Mereka yang berusia satu hingga 15 tahun layak untuk mendapat RM1,000 sebulan manakala 15 tahun ke atas sehingga tamat pengajian ijazah pertama layak mendapat bantuan RM1,500 setiap seorang.
“Bantuan ini mencerminkan wajah kasih sayang Perdana Menteri kita selaku ketua Keluarga Malaysia untuk membantu mengurangkan beban keluarga yang terkesan serta wajah kasih sayang bahawa penderitaan mereka tidak ditanggung keseorangan,” katanya pada sesi temu bual berkaitan Jelajah AKM Negeri Melaka di konti Nasionalfm hari ini.
Beliau berkata mereka yang ingin memohon bantuan berkenaan perlu memuat turun borang permohonan menerusi laman sesawang https://keluargamalaysia.gov.my/ dan menghantar borang yang lengkap diisi ketika mengunjungi Jelajah AKM Negeri Melaka.
Katanya selain itu, perlindungan insurans di bawah Skim Insurans Keluarga Malaysia (SIKM) juga akan diberikan kepada ketua isi rumah miskin tegar dan yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.
Wan Azilawati berkata sebanyak 29 kaunter perkhidmatan kerajaan dan pameran daripada kementerian, jabatan dan agensi akan dibuka sepanjang tiga hari penganjuran jelajah berkonsep karnival rakyat itu yang kini memasuki edisi ke-11.
Beliau berkata sebanyak 118 gerai usahawan tempatan yang menawarkan pelbagai produk selain 10 trak makanan dan 20 reruai yang menjual juadah cita rasa Keluarga Malaysia turut dibuka pada karnival itu yang akan berlangsung bermula 9 pagi hingga 9 malam.
“Potongan bayaran saman sehingga 50 peratus juga ditawarkan kepada pembayar saman dan cabutan bertuah iaitu dua kali sehari selama tiga hari juga akan dibuat bagi menarik kedatangan pengunjung,” katanya.
Beliau berkata orang ramai boleh mendapatkan maklumat berhubung penganjuran Jelajah AKM Melaka menerusi https://keluargamalaysia.gov.my/ atau kementerian terlibat dan maklumat berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa. – BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.