Pengunjung impikan ‘Melaka Bila Larut Malam’ setiap minggu

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

BANDA HILIR 3 JUN – Program Melaka Bila Larut Malam atau ‘Melaka Nightlife’ yang diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan disifatkan sebagai idea ‘luar kotak’ bagi merancakkan pelancongan negeri ini.

Ia dibuktikan menerusi reaksi positif diterima pada hari pertama program tersebut yang mendapat sambutan hebat daripada lebih 30,000 pengunjung dan pelancong.

Bagi anak Melaka, Muhammad Syukri Mokhtar, 37 berkata, dia berbangga menyaksikan Melaka kini semakin dikerumuni pengunjung dari seluruh negara apatah lagi dengan penganjuran Program Melaka Bila Larut Malam yang menjadikan pelancongan di kawasan bandar tetap rancak biarpun sehingga lewat malam.

Img 20240602 194831 433
SYUKRI Mokhtar.

“Saya berasal dari Kampung Pulau Melaka tetapi menetap di Cyberjaya, terpaksa meredah perjalanan sehingga lebih 4 jam untuk tiba ke sini.

“Sampai sini dengan keluarga, saya teruja melihat Bandar Melaka semakin meriah dengan program sebegini. Saya juga berharap program ini dapat dibuat pada setiap minggu,” katanya ketika ditemui Melaka Hari Ini.

Nada sama disuarakan pengunjung, Rohani Che Hassan, 43 yang tidak melepaskan peluang melawati lokasi-lokasi pelancongan memandangkan tempoh masa diberikan lebih panjang pada waktu malam.

“Pada waktu siang, kita mungkin tidak sempat hendak berjalan-jalan. Jadi apabila dilanjutkan sehingga waktu malam dengan tawaran tiket serendah RM10 ini, beri peluang buat saya sekeluarga.

“Lagipun suasana malam lagi ‘best’, tak panas dan lebih meriah,” katanya.

Img 20240602 194836 240
NOOR Aza Shazwania.

Pengunjung dari ibu kota, Noor Aza Shazwania, 31 tertarik dengan inisiatif menempatkan kawasan-kawasan tumpuan pelancong secara berpusat di bandar.

Biarpun tidak sempat mengunjungi mana-mana lokasi pelancongan yang ditawarkan, namun dia berasa suasana malam di Melaka yang meriah sudah memadai.

“Saya dari Kuala Lumpur lebih 5 jam ke sini. Ingatkan sudah terlambat tetapi tengok banyak lagi kios jualan yang buka, orang pun ramai lagi jadi seronoklah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

289
Kongsi :
Previous post Penangan Bila Larut Malam, ‘Ponti’ Melaka pun kena ambil ‘OT’
Next post Bila Larut Malam: Pengayuh beca ‘mandi peluh’
Ubah saiz-+=