Penguasaan Bahasa Melayu SJKC, SJKT perlu dipertingkat

Masa Membaca:1 Minit, 47 Saat

PAYA RUMPUT 17 Oktober – Penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Tamil (SJKT) perlu dipertingkat dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan itu sebagai bahasa perantaraan.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, ia sekali gus membantu murid untuk meneruskan sistem pendidikan Sekolah Menengah tanpa perlu menghadiri kelas peralihan dalam tempoh setahun.

Jelasnya, selain pihak sekolah, ahli keluarga juga perlu bersama-sama memainkan peranan dalam membantu pelajar menguasai semula subjek utama negara itu.

“Penekanan berterusan untuk menguasai Bahasa Melayu ini perlu ditumpukan sejak dari bangku sekolah malah keluarga juga perlu memainkan peranan ini bagi memastikan anak mereka menguasai Bahasa Melayu dan dijadikan sebagai bahasa perantaraan mereka.

“Para guru dan ibu bapa perlu berusaha dan Kerajaan Negeri akan memikirkan kaedah terbaik bagi memastikan hasrat ini tercapai.

“Jika semua murid dapat menguasai Bahasa Kebangsaan ini, maka ia akan melancarkan urusan pelajar memasuki alam Sekolah Menengah tanpa perlu memasuki kelas peralihan dalam tempoh setahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Festival Megah Bahasa Piala Presiden Peranakan Malaysia 2023, di SJKC Pay Fong 1, di sini, hari ini, yang turut dihadiri Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan Yong Hoe.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, bagi memastikan hasrat itu tercapai pelbagai penganjuran bertemakan penekanan Bahasa Melayu akan dilaksanakan di SJKC dan SJKT.

Katanya, pertandingan seni dan budaya dan memartabatkan Bahasa Melayu seperti penganjuran Festival Megah Bahasa itu sedikit sebanyak membantu kepada penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan generasi muda.

“Kita melihat sambutan yang diterima dalam penganjuran sulung ini begitu membanggakan dan ia wajar dilaksanakan menyeluruh di negeri ini bagi memartabatkan Bahasa Melayu.

“Kerajaan Negeri akan memastikan penganjuran seperti ini akan diteruskan pada masa akan datang melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan selain penguasaan Bahasa Melayu, elemen kesenian dan budaya seperti berpantun dalam dondang sayang juga dapat disemai dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Terdahulu, festival yang julung kali diadakan itu melibatkan sebanyak 33 buah sekolah SJKC dan SJKT dalam daerah Melaka Tengah.

Festival berkenaan turut menampilkan beberapa jenis pertandingan antaranya pertandingan dondang sayang, koir dan bercerita dalam Bahasa Melayu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1200
Kongsi :
Previous post Melaka anjur Karnival TVET, 25-26 November depan
Next post Bangga kepelbagaian budaya di Melaka
Ubah saiz-+=