Penglibatan Pejuang dalam PRN Johor adalah amanah yang perlu dipikul
KUALA LUMPUR, 5 Feb – Penglibatan parti Pejuang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor merupakan satu tanggungjawab dan amanah yang perlu dipikul oleh setiap ahli parti itu.
Pengerusinya Tun Dr Mahathir Mohammad dalam surat kepada ahli parti itu yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini, turut melahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama dalam menghadapi PRN Johor berikutan masih perlu mendapatkan rawatan di hospital.
“Saya juga berdoa agar perjuangan kita akan sentiasa dirahmati dan mendapat keredhaan Allah SWT. Teruskan perjuangan dan jangan sesekali kita mundur tidak kira apa rintangan dan cabaran yang mendatang,” katanya.
Bekas perdana menteri itu berkata walaupun tidak dapat bersama pada pilihan raya negeri itu, semangat dan jiwa beliau mengiringi ahli-ahli parti dalam setiap langkah yang diambil.
“Bagi saya perjuangan untuk negara tidak pernah ada noktah seperti juga melaksanakan ibadah yang perlu. Perjuangan juga bagi saya satu ibadah malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan,” katanya.
Dalam pada itu, Dr Mahathir yang menyatakan beliau kini beransur pulih turut mengucapkan terima kasih kepada ahli parti dan seluruh rakyat di negara ini, yang mendoakan kesihatannya.
“Insya-Allah saya akan kembali pulih seperti sediakala dan kita akan bertemu dan bersama-sama meneruskan perjuangan,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.