Penginapan karavan untuk pelancong ke Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

SERI NEGERI 29 November – Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) akan membangunkan sebuah penginapan berkonsepkan karavan sebagai tarikan baharu yang memberikan kelainan untuk pelancong berkunjung ke negeri ini.

Jika sebelum ini pelancong hanya tertumpu di kawasan Bandar Melaka untuk bersantai bersama keluarga, namun selepas ini selain bermalam di kawasan taman mereka dapat merasai suasana yang lebih tenang.

Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, penginapan itu akan dibangunkan di Taman Bandaraya Bukit Serindit yang dijangka siap pada 17 Disember ini.

“Ini adalah tarikan baharu bagi memastikan Melaka sentiasa menjadi pilihan utama para pelancong, selepas ia siap dibina sudah tentu lebih ramai pelancong beriadah di kawasan taman ini.

“Antara skop kerja untuk projek ini adalah membina tapak parkir karavan, monumen tanda nama, membina ‘picnic table’, tangki septik, kaunter memasak dan tempat ‘barbeque’ untuk kemudahan pelancong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai produk pelancongan baharu di Negeri Melaka pada hari ketiga Persidangan Ketiga (Bajet) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Yang Kelima Belas, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata bagi perancangan jangka panjang, Kerajaan Negeri sentiasa berusaha mempergiatkan usaha membangunkan produk-produk pelancongan baharu di negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

7831
Kongsi :
Previous post Bangunan Klinik Kesihatan Kuala Sungai Baru lama diserahkan kepada JKPTG
Next post Pembantu farmasi didakwa sebabkan kematian adik
Ubah saiz-+=