Penghuni autisme tanam sayur, jana pendapatan

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

DUYONG 21 Januari – Aktiviti bercucuk tanam yang sebelum ini menjadi salah satu kemahiran rangsangan penghuni autisme di Persatuan Kanner Melaka (PKM), kini mampu menjadi pendapatan apabila hasilnya dituai.

Ketua Fasilatator PKM, Tee Shin Ling berkata, aktiviti itu sekali gus dapat membantu meringankan beban perbelanjaan persatuan dalam membantu anak-anak istimewa di negeri ini.

Katanya, tanaman yang diusahakan kira-kira 15 penghuni di situ adalah sayuran organik, dan daripada hasil itu juga mereka akan jadikan hidangan selain menjualnya menerusi kotak sayur atau ‘Vegebox’.

“Penghuni ini akan melakukan tanaman di bawah pengawasan fasilatator termasuk bagi penyediaan sayur yang hendak dijual.

“Sehingga kini lebih 15 jenis sayuran ditanaman antaranya bendi, bayam brazil, pucuk ubi serta cili.

“Daripada sayur ini kita adakan program penjualan sayur organik yang dipanggil kotak sayur atau ‘Vegebox’ yang mana didalamnya terdapat antara lapan hingga 10 jenis sayur dan setiap kotak beharga RM50,” katanya.

Shin Ling ditemui selepas Program SWM Kasih Misi Sampul Merah Tahun Baharu Cina, yang turut dihadiri Pengurus Besar Korporat SWM Environment Mohd Norlisam Mohd Nordin dan Pengarah SWCorp Melaka Khairuladha Ab Mutalib, di PKM Semabok, di sini, 19 Januari lalu.

photo1674198903
ANTARA sayuran organik yang ditanam.

Katanya, meskipun persatuan itu menerima sumbangan daripada pelbagai pihak, namun PKM perlu berusaha menjana pendapatan sendiri kerana dalam keadaan ekonomi yang tidak berapa baik, mereka tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada hasil sumbangan.

“Secara purata kini, kami dapat menjual kira-kira 30 kotak setiap minggu yang mana hasilnya akan digunakan sebagai kos operasi pusat termasuklah gaji fasilatator.

“Kalau hendak mengharapkan sumbangan sepenuhnya agak sukar jadi kita perlu usahakan sesuatu bagi memastikan persatuan dapat mengekalkan operasi,” katanya.

Dalam pada itu, Shin Ling turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak SWM Environment yang sedia membantu pihaknya menyediakan baja daripada sisa makanan untuk tanaman tersebut.

“Kami berharap agar lebih banyak lagi syarikat korporat dapat tampil dengan mengambil contoh pendekatan yang digunakan oleh SWM Enviroment dalam membela golongan yang kurang bernasib baik,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1942
Kongsi :
Previous post Premis penginapan berlesen perlu berdaftar sebagai PPP di bawah MOTAC
Next post 40 tahun tak jumpa, alumni SMKA Sultan Muhammad gamit memori zaman sekolah
Ubah saiz-+=