Penghantar makanan ditahan disyaki edar dadah di Taiping
Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping Supt Razlam Ab Hamid berkata lelaki berusia 37 tahun ditahan sepasukan polis peronda lebuh raya pada 9 pagi.
“Suspek menaiki kereta Perodua Alza yang dipinjam melalui anak saudaranya untuk melakukan aktiviti pengedaran tersebut dalam perjalanan dari Pulau Pinang ke Selangor.
“Hasil pemeriksaan dalam kereta itu menemukan satu guni plastik mengandungi 18 ketulan mampat daun kering dadah jenis ganja seberat 18 kilogram bernilai RM54,000 serta merampas wang tunai sejumlah RM2,119,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Taiping di sini hari ini.
Razlam berkata suspek dipercayai mengambil upah mengedar dadah sejak Julai lepas dengan bekalan diperoleh dari Pulau Pinang untuk dibekalkan kepada kira-kira 10,000 penagih untuk pasaran tempatan.
Menurutnya, hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek negatif dadah serta tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
Beliau berkata suspek direman selama seminggu sejak Jumaat lepas bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.