Penggunaan dewan, premis dan fasiliti MBJB untuk kempen PRN Johor dibenarkan
JOHOR BAHRU, 31 Jan – Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membenarkan penggunaan dewan, premis atau mana-mana fasiliti miliknya bagi tujuan kempen, perjumpaan, mesyuarat atau lain-lain aktiviti berkaitan politik bersempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.
Datuk Bandar Johor Bahru Datuk Mohd Noorazam Osman berkata bagaimanapun terdapat beberapa syarat dan ketetapan yang perlu dipatuhi berhubung penggunaan itu.
Beliau berkata antara syarat ditetapkan adalah tiada logo, jata, ikon atau apa sahaja bentuk perlambangan parti politik dipaparkan sepanjang program berlangsung di dewan, premis atau mana-mana fasiliti MBJB.
“Ia termasuk pemasangan logo atau ikon parti politik pada hiasan latar belakang, gegantung, bendera atau lain-lain bentuk hiasan di dalam atau persekitaran dewan atau premis MBJB.
“Keduanya, bayaran penuh kadar sewaan dewan mesti dibuat kepada MBJB terlebih dahulu kerana dewan-dewan dan fasiliti merupakan harta awam, maka penggunaannya perlulah bersifat umum untuk kepentingan dan kebaikan masyarakat setempat,” katanya berucap pada Mesyuarat Penuh MBJB di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Noorazam turut mengingatkan semua pihak supaya sentiasa mematuhi peraturan berkaitan pemasangan bendera, gegantung, poster, iklan atau apa-apa bahan berkaitan kempen.
“Dalam kemeriahan parti-parti politik yang akan turun berkempen dalam masa terdekat ini, segala peraturan berkaitan pemasangan bendera, gegantung, poster, iklan atau apa-apa bahan kempen hendaklah dipatuhi bagi memastikan ia tidak menimbulkan kacau ganggu, risiko kemalangan atau kekotoran di persekitaran bandar raya.
“Pihak-pihak yang ingin memasang bendera atau iklan parti politik hendaklah mendapatkan kelulusan MBJB terlebih dahulu serta memastikan pemasangan adalah di kawasan yang telah dibenarkan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sahaja,” katanya.- BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.