Sorting by

×

Pengguna tertekan harga minyak masak naik mendadak

Masa Membaca:1 Minit, 17 Saat

AYER KEROH 15 Mei- Kenaikan harga minyak masak botol sejak akhir-akhir ini mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna.

Lebih mengeruhkan keadaan apabila bekalan minyak masak bersubsidi dalam peket satu kilogram (kg) juga dikatakan berkurangan di pasaran.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) di pasar raya dan kedai runcit mendapati minyak masak botol 3kg kini dijual pada harga sekitar RM18.70 hingga RM20 manakala RM28.70 sehingga RM50.85 untuk minyak masak 5kg.

Bagi pengguna Shukor Ali, 45, kenaikan harga minyak masak kebelakangan ini memberi tekanan kepada pengguna, lebih-lebih lagi buat golongan B40.

“Minyak masak ini boleh saya katakan sebagai keperluan penting, bagi saya mahal macam mana sekalipun perlu juga dibeli, sebab nak pakai hari-hari, namun janganlah naik harga mendadak begini, kami tertekan, dengan ekonomi tidak menentu,” ujarnya.

NURISA Wahid

Nurisa Wahid, 59, pula berkata kenaikan harga minyak masak itu memberi impak besar kepada semua golongan, termasuk dirinya dan keluarga.

“Dengan keadaan sekarang banyak bahan mentah naik harga, sudah tentulah kenaikan harga minyak masak akan menambah beban lagi,” katanya.

Nada sama disuarakan seorang suri rumah, Zulaikha Jamel, 30, katanya dia masak setiap hari untuk keluarganya dan menyifatkan kenaikan mendadak harga minyak masak adalah tidak wajar.

“Bagi keluarga besar macam saya ini, suami saya selalunya membeli bahan mentah sekali seminggu dan nak beli minyak peket sekilogram tidak berbaloi, ditambah pula pembelian hanya dihadkan beberapa peket saja.

“Jadi tentulah kenaikan harga akan membebankan apatah lagi jika keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1587
Kongsi :
Previous post Dua wanita hilang dalam kejadian tanah runtuh, kepala air
Next post Bela kebajikan, pendidikan anak yatim DUN Rembia
Ubah saiz-+=