Pengguna lebuh raya sangkut dua jam di Plaza Tol Ayer Keroh
AYER KEROH 13 Mac – Pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR) lebih tegas selain kebenaran rentas negeri dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat mengakibatkan kesesakan teruk di Plaza Tol Ayer Keroh sepanjang kira-kira 13 kilometer, hari ini.
Pemeriksaan ketat susulan arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mengarahkan petugas di SJR melakukan pemeriksaan lebih serius terhadap pergerakan rentas negeri pengguna jalan raya dan bukan sekadar melambai tangan sahaja.
Tinjauan Melaka Hari Ini di plaza tol berkenaan mendapati pengguna jalan raya mengadu tersekat lebih dua jam selepas keluar dari jalan susur keluar menuju ke tol terbabit.
Seorang pengguna lebuh raya, Zulkiflee Kadir, 57 berkata dia dan isteri Mahnizah Mustaffa, 54 keluar dari susur Plaza Tol Putra Height, Subang Selangor pada jam 10 pagi dan tiba di susur keluar Plaza Tol Ayer Keroh pada satu jam 15 minit kemudian.
“Sekarang sudah pukul 2.30 petang, bayangkan kami berdua tersekat dalam kesesakan ini berapa lama?
“Perancangan pihak berkaitan perlu ada supaya urusan rakyat ketika melalui SJR dipermudahkan.
“Jika kami berdua berpatah balik, sudah sampai semula di Kuala Lumpur,” katanya ketika ditemui ketika melalui pemeriksaan SJR plaza tol berkenaan.
Mahnizah berkata, dia sebagai pengguna jalan raya memahami tugas petugas SJR namun berharap kesesakan itu dapat diatasi jika lorong dibuka lebih daripada satu.
Kataya, dengan keadaan cuaca panas terik serta terpaksa berebut dengan kenderaan lain untuk melalui SJR adalah antara kesusahan dialami pengguna jalan raya pada ketika ini.
“Kita tahu tanggungjawab petugas, namun buka tiga empat lorong untuk pemeriksaan, jadi tidaklah menyusahkan pengguna jalan raya terpaksa berpanas enjin selama lebih dua jam.
“Buatnya ada kenderaan yang penghawa dinginnya rosak, ia mendatangkan masalah baru dalam kesesakan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi pengguna , Shaari Mohd Yusof, 62 berkata dia dan rakannya mempunyai kebenaran rentas negeri dari Kuala Lumpur ke Melaka namun terkandas dalam kesesakan itu hampir dua jam.
“Saya kadang-kala tidak faham dengan arahan kerajaan yang tidak menentu sehingga keliru nak ikut yang mana satu.
“Sekolah sudah muka buka malah rentas negeri pun sudah diberikan kebenaran walaupun SOP ketat dan kes COVID-19 juga sudah menurun, kenapa kenderaan perlu melalui pemeriksaan yang ketat,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahaya berkata kesesakan sepanjang 13 kilometer dilaporkan dari arah utara menghala ke susur Plaza Tol Ayer Keroh manakala lima kilometer dari arah selatan menghala plaza tol berkenaan.
Katanya, setakat jam 3.00 petang tadi, sebanyak lapan kenderaan diarahkan berpatah balik kerana tidak mempunyai alasan kukuh untuk merentas negeri manakala enam dikenakan kompaun kerana melakukan pelbagai kesalahan termasuk menipu petugas SJR dengan menunjukkan surat kebenaran polis yang tamat tempoh.
“Antara kesalahan termasuk seorang pemandu grab yang menghantar pelanggannya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur kelmarin dan sepatutnya tarikh dia pulang daam surat kebenaran polis semalam, jadi kita terpaksa mengeluarkan kompaun.
“Ada juga pemandu menunjukkan surat kebenaran polis yang tertera namanya seorang namun dia membawa dua tiga orang lagi dalam kenderaan.
“Pengguna jalan raya diingatkan supaya tidak menipu petugas kerana jika mereka ingat pemeriksaan di semua SJR sambil lewa sahaja, mereka silap kerana Melaka akan melakukan pemeriksaan lebih tegas dan teliti,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.