Pengguna jalan raya lega Jalan Tun Hamzah-Persimpangan Semabok dinaik taraf

Masa Membaca:2 Minit, 1 Saat

AYER KEROH 1 Mac – Rata-rata pengguna jalan raya di sekitar Bukit Katil, Duyong dan Semabok berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana mengumumkan peruntukan bagi menaik taraf Jalan Tun Hamzah ke Persimpangan Semabok Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) pada Belanjawan 2023.

Ia kerana menurut mereka, jalan sedia ada sering berlaku kesesakan, selain tidak lagi mampu menampung kepadatan di sepanjang jajaran itu.

Seorang pekerja syarikat kurier Muhammmad Faiz Ahmad, 29, berkata jalan sedia ada terlalu kecil untuk dilalui berikutan pertambahan kenderaan pada masa kini.

Dia yang sering menggunakan jalan berkenaan mengakui kerap berdepan kesesakan terutama ketika waktu puncak.

“Saya kerap menghantar barangan ke kawasan perumahan dan kampung di sekitar Bukit Katil dan Duyong dan pernah suatu ketika hampir berlaku kemalangan apabila terpaksa mengelak jalan berlubang di Jalan Tun Hamzah.

“Jadi memang wajar jalan itu diperbesarkan kepada dua lorong atau dibuat jalan alternatif lain untuk menyuraikan trafik yang sesak,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

WhatsApp Image 2023-02-28 at 17.53.41
Muhammmad Faiz

Nada sama disuarakan, Muhammad Lutfi Aziz, 34, seorang pekerja swasta yang sering menggunakan laluan tersebut bagi menghantar anak-anak ke sekolah di Kandang dari Bukit Katil.

Katanya, bagi mengelakkan kesesakan, dia perlu keluar rumah seawal jam 6.30 pagi bagi mengelakkan kesesakan waktu puncak yang sering berlaku di jalan berkenaan.

“Pada pandangan saya, laluan di Jalan Tun Hamzah bermula pada bulatan Bukit Katil menghala ke Semabok perlu dinaik taraf, jalan berlubang terlalu banyak dan lorong kedua-dua hala perlu dibesarkan.

“Hal ini kerana, apabila melalui jalan tersebut selepas melalui bulatan itu dari arah Bukit Katil, kenderaan yang mahu masuk simpang dan jalan terus berada pada satu laluan, dan di situ sahaja sudah beberapa kali hampir berlaku kemalangan.

“Harap selepas menerima peruntukan ini, akan berlaku perubahan dan penyuraian trafik dapat dilakukan di situ demi keselamatan pengguna jalan raya yang lain juga,” ujarnya.

WhatsApp Image 2023-02-28 at 17.53.19
Muhammad Lutfi

Sementara itu, seorang pekerja swasta, Mohd Izwan Baharin, 30, berharap kerajaan dapat membangunkan jejambat (flyover) sebagai penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi isu kesesakan di kawasan sekitar.

“Sebagai pengguna jalan raya, saya kerap menggunakan laluan tersebut pada waktu puncak, di mana keadaan trafik di Melaka agak padat di laluan terbabit.

“Saya berpandangan, untuk jangka masa panjang, kerajaan boleh mewujudkan ‘flyover’ untuk mengatasi isu kesesakan dan bukan menambah lampu isyarat dan bulatan yang hanya akan menambah lagi kesesakan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1890
Kongsi :
Previous post Banjir: Dua pusat pemindahan dibuka di Melaka
Next post Lelaki maut dibawa arus banjir di Kluang
Ubah saiz-+=