Pengguna jalan raya lega Jalan Melaka-Negeri Sembilan dibuka semula
AYER LIMAU 4 Jan – Pengguna jalan raya menarik nafas lega apabila Jalan Melaka-Negeri Sembilan di Lubok China, di sini dibuka semula pagi ini berikutan banjir sudah surut mulai malam tadi.
Laluan penting menghubungkan kedua-dua negeri itu dinaiki air setinggi kira-kira satu meter mulai awal pagi Sabtu lalu berikutan hujan lebat pada malam Jumaat lalu.
Penduduk Lubok China, Edy Effandy Surani, 43, berkata dia sudah mampu melepasi laluan di sempadan kedua-dua negeri itu untuk ke bengkel keretanya di Kampung Nerambai, pagi ini.
“Alhamdulillah, air sudah surut sejak malam tadi dan pagi ini saya sudah boleh ke bengkel kereta.
“Mulai Sabtu lalu hingga semalam saya tidak dapat membuka bengkel kerana tidak mampu melepasi laluan yang dinaiki air setinggi satu meter,” katanya ketika ditemui di pekan Lubok Cina hari ini.
Dalam kejadian jam 5 pagi Sabtu lalu, pekan berkenaan dan beberapa kampung sekitarnya dilanda banjir selepas Sungai Rembau melimpah melepasi tebing.
Selain Kampung Telok Berembang, kampung lain yang turut dilanda banjir ialah Pengkalan Pauh dan Bangsal Atap.
Dalam pada itu, penduduk Kampung Telok Berembang, Yusof Hasan, 72, berkata dia tidak mampu membuat pembaikan rumahnya yang rosak teruk akibat banjir.
“Saya merayu kerajaan negeri membina rumah PPRT (Program Perumahan Rakyat Termiskin) kerana rumah saya sudah rosak teruk akibat banjir besar pada 18 Disember lalu dan berulang sekali lagi pada Sabtu lalu,” katanya.
Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Melaka, Abdul Hakim Hamzah yang dihubungi berkata, jabatan itu mengambil langkah drastik menjalankan kerja pembaikan tebing sungai berkenaan.
Tebing sungai sepanjang 100 meter itu dibina semula kontraktor yang diberikan tanggungjawab oleh JPS bagi memastikan aliran sungai berkenaan tidak menyebabkan banjir di beberapa kampung di sekitar Lubok China, katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.