Penggiat pelancongan setia dan sedia tunggu sempadan dibuka

Masa Membaca:2 Minit, 8 Saat

AYER KEROH 1 Okt.- Penggiat industri pelancongan tetap bersedia menunggu sehingga sempadan negeri dibuka meskipun Melaka telah beralih ke Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang bermula hari ini.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) terhadap mereka yang bekerja dalam sektor perhotelan, rata-rata positif terhadap tindakan kerajaan negeri untuk belum membenarkan pelancong luar masuk ke negeri ini.

Menurut Eksekutif Perhubungan Awam, Nabila Mahat, inisiatif yang diambil oleh kerajaan negeri dilihat untuk kemaslahatan sejagat apabila pembukaan sempadan negeri ditunda pembukaannya sehingga kadar vaksinasi dewasa di seluruh negara mencapai 90 peratus.

Katanya, di peringkat industri pelancongan, dia yakin semua penggiat industri setia menunggu sehingga pengumuman pembukaan itu tiba.

NABILA.

“Sudah pasti pembukaan sempadan amat dinanti kerana ia membantu sektor perhotelan di negeri ini, jadi kami mengambil kira masa yang ada ini untuk menarik pelancong dalam negeri dengan menawarkan pelbagai pakej istimewa menerusi pakej ‘Melakan visit Melaka’.

“Seperti saranan kerajaan, pintu sempadan akan dibuka apabila telah mencapai tahap vaksin dewasa sehingga lebih 90 peratus, jadi kami faham dan akur dengan tindakan yang diambil.

“Selain itu, kami akan gunakan masa yang ada ini untuk bersiap sedia lebih lagi untuk menerima pelancong luar apabila sempadan negeri dibuka kelak dan kini lebih fokus kepada menarik pelancong dalam negeri sahaja dahulu,” katanya.

NUR AZIMAH.

Nada sama disuarakan juga oleh Penolong Pengurus Pemasaran, Nor Azimah Sulaiman, katanya kerajaan mengambil langkah yang tepat untuk tidak terburu-buru dalam membuka sempadan negeri bagi menarik pelancong luar dalam Fasa 3 PPN.

Jelasnya, kerajaan memberi peluang kepada orang Melaka sendiri yang telah lama duduk di rumah untuk melancong dalam negeri sebelum negeri itu kembali ‘busy’ dengan pelancong luar.

“Bagi saya, langkah kerajaan pun ada sebabnya, kerajaan negeri Melaka nak teliti dulu SOP sebelum buka untuk orang luar datang ke Melaka.

“Dalam masa yang sama, beri peluang kepada orang Melaka sendiri yang dah berbulan duduk di rumah mengikut saranan kerajaan untuk melancong di dalam negeri.

“Seperti yang kita sedia maklum, kalau rentas negeri dibuka, jalan-jalan di pusat bandar Melaka akan kembali sesak.

“Jadi ini adalah masa yang terbaik untuk kita rakyat Melaka menikmati keindahan negeri Melaka, berkunjung ke tempat-tempat menarik di Melaka, bersantai bersama keluarga di hotel-hotel dengan harga yang sangat menarik,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Menteri mengumumkan Melaka kekal tidak membenarkan kedatangan pelancong luar buat masa ini biarpun telah beralih kepada Fasa 3 PPN dan sektor pelancongan hanya untuk rakyat di Melaka sahaja melalui kempen ‘Melakan Visit Melaka’.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

730
Kongsi :
Previous post Polis Selangor tumpas sindiket edar dadah guna kenderaan sewa, tahan 8 individu
Next post Pengunjung mula ke Zoo Melaka jam 9 pagi
Ubah saiz-+=