Sorting by

×

Penggiat industri pelancongan diseru buat persediaan awal – Nancy

Masa Membaca:1 Minit, 43 Saat

KUALA LUMPUR 23 Sept – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menyeru penggiat industri pelancongan dan kebudayaan untuk melakukan persediaan awal berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dan amalan norma baharu menjelang fasa endemik.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri dalam kenyataan berkata persediaan ini selaras pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berhubung kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula pusat pelancongan apabila kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus populasi dewasa.

Beliau turut menyarankan seluruh `Keluarga Malaysia’ untuk memanfaatkan sepenuhnya kelonggaran yang diberikan agar segala perancangan akan berjalan dengan lancar, dan perkembangan ini juga melegakan para pemain industri untuk menggiatkan semula aktiviti ekonomi mereka.

“Teruskan pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan serta laksanakan aktiviti dengan penuh bertanggungjawab agar kita semua dilindungi daripada wabak pandemik COVID-19,” katanya.

Selaras dengan kelonggaran yang bakal dinikmati beliau turut mengingatkan semua pihak supaya menjalankan tanggungjawab dan saling bekerjasama bagi memulihkan kembali industri pelancongan dan kebudayaan negara.

Nancy berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya menyambut baik pengumuman Perdana Menteri semalam yang disifatkan sebagai indikasi positif bahawa industri pelancongan akan kembali rancak dan dipulihkan menerusi aktiviti pelancongan domestik.

Beliau berkata dengan kembalinya semula aktiviti pelancongan yang melibatkan pergerakan manusia atau mobiliti; isu pekerjaan dan pendapatan bagi mereka yang berada dalam rantaian industri ini yang telah terjejas teruk sejak setahun lalu akibat penularan pandemik COVID-19 akan dapat diatasi.

Antara kelonggaran baharu yang diumumkan adalah membenarkan pembukaan pusat-pusat pelancongan, pulau-pulau atau kawasan pelancongan berserta aktiviti rentas negeri dibenarkan dengan syarat mencapai 90 peratus kadar vaksinasi dewasa berdasarkan data dan analisis yang telah dibuat oleh KKM.

Selain itu Perdana Menteri turut mengumumkan operasi perniagaan spa, pusat kesihatan (wellness) dan urut kesihatan dibenarkan kepada pengunjung dan operator yang telah menerima dos lengkap vaksin bermula 1 Okt.

Sementara pusat, premis, produk pelancongan seperti zoo, perladangan, akuarium, snorkeling, selam skuba, pelancongan memancing dan taman rimba, dibenarkan beroperasi di semua fasa Pelan Pemulihan Negara berkuatkuasa 1 Okt dengan semua pengusaha/operator dan pelawat/pengunjung lengkap divaksin.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

475
Kongsi :
Previous post LTAM jadi hab parkir ambulans udara
Next post 500,000 peluang kerja tahun ini bakal dicapai – PM
Ubah saiz-+=