Sorting by

×

Penggemar sup tulang ‘buru’ tulang tengkuk

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

PANTAI KUNDOR 18 April – Penggemar sup tulang di sini ‘memburu’ tulang tengkuk lembu atau kerbau sepanjang Ramadan kerana ia menyediakan daging yang lebih berbanding tulang bahagian lain.

Hal itu diakui peniaga daging, Mohd Syahmi Ayub, 21, yang membantu bapanya yang hanya ingin dikenali sebagai Ayub di Pasar Pantai Puteri, Tanjung Kling dekat sini.

Mohd Syahmi berkata, pada bulan biasa tulang tengkuk agak ‘liat’ untuk dilanggan tetapi sepanjang Ramadan yang bermula Selasa lalu, ia menjadi rebutan.

MOHD Syahmi memotong tulang tengkuk dengan menggunakan kapak di gerainya di Pasar Pantai Puteri, Tanjung Kling. – Foto DIN AHMAD

“Satu tulang tengkuk beratnya antara lapan hingga 11 kilogram (kg) dan dijual pada harga RM32 sekilogram.

“Penggemar sup amat menggemari tulang tengkuk kerana selain tulang, ada banyak daging yang melekat pada celahnya dan menyebabkan apabila makan, mereka menikmati banyak daging,” katanya ketika ditemui di gerainya di pasar itu hari ini.

Katanya, ada pelanggan tetap menghubunginya untuk membuat tempatan tulang tengkuk sehari atau dua hari sebelum hadir di gerai.

“Alhamdulillah, selain daging permintaan terhadap tulang tengkuk sepanjang Ramadan amat baik,” katanya.

Pelanggan, Abdul Karim Mat Ali, 46, berkata tulang tengkuk adalah pilihan utama setiap kali mendapatkan tulang untuk dibuat sup.

“Saya diajar oleh arwah bapa supaya jika ingin membeli tulang lembu atau kerbau untuk dibuat sup, pilihlah tulang tengkuk kerana ada banyak daging di celah tulang.

“Alhamdulillah, hari ini saya berjaya mendapatkannya untuk dijadikan juadah berbuka puasa kelak,” katanya.

Mohd Saiful Abdul Muluk, 54, berkata memakan sup tulang tengkuk memberi kepuasan kepadanya dan anggota keluarga berbanding jika memakan sup tulang selangka.

“Ada orang gemar tulang selangka tetapi jika mereka sudah merasai tulang tengkuk, saya yakin mereka akan beralih kepada tulang tengkuk yang kaya dengan daging di celahan tulang,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1307
Kongsi :
Previous post Semua sekolah, institusi pendidikan di tujuh jajahan di Kelantan ditutup seminggu mulai hari ini
Next post 21 warga Myanmar ditahan berpesta air
Ubah saiz-+=