Sorting by

×

Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan dijangka meningkat tahun ini

Masa Membaca:59 Saat

KUANTAN, 16 Jan – Pengendalian kargo di Pelabuhan Kuantan di sini dijangka meningkat sebanyak lima peratus pada tahun ini, daripada 22.9 juta tan metrik setahun yang dicatatkan pada tahun 2021, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong.

Beliau menjangkakan kemasukan kapal ke pelabuhan yang mula beroperasi sejak tahun 1984 itu akan kembali rancak, dengan kehadiran lebih ramai pelabur ke Kuantan selain sektor ekonomi yang semakin pulih selepas terkesan dengan pandemik COVID-19.

“Pengendalian kargo pada tahun lalu adalah menurun daripada 27.3 juta tan metrik setahun yang direkodkan pada tahun 2020, disebabkan penularan COVID-19 yang menjejaskan banyak sektor ekonomi kerana terpaksa ditutup bagi membendung penularan wabak itu.

“Walaupun jumlah itu menurun, namun jika dibandingkan daripada tahun 2019 ia adalah meningkat sebanyak 4.5 peratus, yang menunjukkan potensi Pelabuhan Kuantan adalah sangat besar,” katanya pada sidang media selepas melawat dan melancarkan Polisi Hijau Pelabuhan Kuantan 2021-2030 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak, Pengerusi Lembaga Pelabuhan Kuantan Tan Sri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman. -BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

610
Kongsi :
Previous post Seorang lagi direman bantu siasatan kes kemuka penyata akaun bank syarikat palsu
Next post Angin kencang di Timur Sabah, cuaca panas di utara Semenanjung
Ubah saiz-+=