Sorting by

×

Pengayuh beca hargai inisiatif Belanjawan Melaka 2021

Masa Membaca:1 Minit, 52 Saat

AYER KEROH 9 Dis. – Pembentangan Belanjawan Tahun 2021 Negeri Melaka oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali sebentar tadi, mengumumkan bantuan tunai ‘one-off’ RM200 pada tahun 2021 termasuk pengecualian lesen beca ternyata memberikan kelegaan buat pengayuh beca di negeri ini.

Hasil tinjauan Melaka Hari Ini, rata-rata mereka menghargai hasrat kerajaan negeri yang begitu prihatin dengan permasalahan mereka yang turut terjejas dari segi sumber pendapatan akibat penangan pandemik COVID-19.

Bagi salah seorang pengayuh beca negeri ini, Mohd Saiful Jamil, 30 berkata, insentif tersebut amat diperlukan oleh mereka dalam memastikan beban yang ditanggung mereka sepanjang pandemik COVID-19 dapat dikurangkan selain mengharapkan lebih banyak lagi insentif akan ditawarkan kerajaan negeri.

“Insentif yang diumumkan Ketua Menteri dalam belanjawan Melaka sebentar tadi adalah amat bagus, dan ditambah pula dengan pengecualian lesen pengayuh beca pada tahun depan.

“Untuk pengecualian lesen pengayuh beca, saya kira ia adalah satu langkah yang baik kerana kalau diikutkan kami membayar lesen beca RM30 setahun, namun bagi sesetengah pengayuh beca senior, jumlah itu agak berat buat mereka. Bagi saya, dengan adanya pengecualian itu, ia akan memberi nafas lega buat pengayuh beca muda dan senior.

“Saya mengayuh beca hampir 13 tahun, sepanjang tempoh pandemik COVID-19, memang agak susah buat kami kerana jumlah pelancong amat kurang dan ada masa, tiada langsung. Jadi, kami amat berharap lebih banyak lagi insentif akan ditawarkan kerajaan negeri bagi membantu kami sebaiknya,” katanya.

Muhammad Husaini Sulaiman

Muhammad Husaini Sulaiman, 24, pula berpendapat, dia menyambut insentif itu dengan hati terbuka dan serba sedikit ia memberi kelegaan buat pengayuh beca negeri ini.

Jelasnya, selain insentif tersebut, kerajaan negeri turut membantu mereka dengan memperkenalkan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) yang disifatkannya sebagai amat diperlukan demi kebaikan pengayuh beca.

“Bagi saya insentif tersebut amat bagus sekali, dan kami mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri terutamanya Ketua Menteri kerana terus prihatin dengan pengayuh beca negeri ini.

“Selain daripada insentif yang disebut dalam belanjawan tadi, pengenalan caruman Perkeso buat kami sebelum ini juga amat diperlukan kami kerana kalau berlaku sebarang kemalangan, ada juga keselamatan tambahan buat pengayuh beca Melaka.

“Harapan saya, kami sebenarnya amat mengharapkan insentif sebegini akan dapat ditambahbaik dari semasa ke semasa demi kebajikan pengayuh beca secara keseluruhannya,” katanya.

Views:

970
Kongsi :
Previous post Melaka cadang bina lapangan terbang baharu
Next post Warga emas hasilkan ciptaan inovatif
Ubah saiz-+=