Pengawal keselamatan terlepas tembakan dalam hospital

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

ALOR GAJAH 9 Ogos – Seorang pengawal keselamatan ditahan kerana terlepas tembakan ketika bertugas di Hospital Alor Gajah, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang itu, lelaki berusia 56 tahun yang bertugas seorang diri di Pejabat Unit Hasil Hospital Alor Gajah dikatakan cuai ketika mengendalikan senjata api jenis shot-gun Winchester.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Superintendan Ashari Abu Samah berkata, pihaknya menahan lelaki itu selepas menerima laporan daripada pihak hospital, semalam.

“Siasatan awal mendapati ketika kejadian suspek sedang duduk di kerusi pengawal keselamatan di bahagian dalam pejabat dan senjata itu diletakkan di meja hadapannya dalam keadaan kunci keselamatan tidak dipasang, selain diletakkan dalam keadaan laras menghala ke arah kaunter pejabat.

“Semasa berdiri dari kerusi, paha kanan lelaki itu dipercayai telah terkena bahagian ‘butt’ senjata api lalu ia jatuh terhentak ke lantai menyebabkannya meletup dan melepaskan tembakan ke arah meja kaunter pejabat di bahagian bawah dengan jenis peluru digunakan adalah 12 Bore.

“Namun, tiada kemalangan jiwa berlaku kerana ketika kejadian tiada pekerja lain di dalam pejabat,” katanya.

Ashari berkata, lelaki itu kemudiannya telah menghubungi ketua pengawal keselamatan hospital sebelum perkara itu dilaporkan kepada ketua operasi syarikat sekuriti berkenaan.

Ujarnya, selepas pihak hospital dan syarikat melakukan siasatan dalaman, satu laporan polis dibuat pukul 6.20 petang semalam atas kecuaian lelaki berkenaan ketika mengendalikan senjata api.

Tambahnya lagi, siasatan tempat kejadian oleh Cawangan D10 (Forensik), Jabatan Siastan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka tidak memperolehi sebarang penemuan kerana telah dibersihkan dan pejabat beroperasi seperti biasa.

“Dimaklumkan pengawal keselamatan itu telah bekerja di hospital berkenaan kira-kira dua tahun lalu dan mendapat lesen penggunaan senjata api sejak tahun lalu,” katanya.

Menurut beliau, pihak polis telah membuat permohonan reman pada pagi ini dan merampas kesemua barang kes dalam kejadian itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

227
Kongsi :
Previous post Mahu jumpa rakan, lelaki ditemui terbaring dalam tandas
Next post Melaka Bila Larut Malam pada 31 Ogos
Ubah saiz-+=